SUMBANGAN DAN POTENSI WAKAF DALAM USAHA MENCAPAI MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN DI MALAYSIA
Keywords:
Pembangunan Mampan, SDG, WakafAbstract
Matlamat Pembangunan Mampan atau dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) seringkali menjadi topik hangat perbincangan oleh negara-negara membangun. Kini SDG telah diterapkan dalam polisi dan pembangunan negara-negara di dunia termasuk Malaysia. Perkara tersebut juga telah diusulkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi matlamat yang ingin dicapai oleh dunia pada tahun 2030. Justeru, objektif kajian ini adalah menganalisis sumbangan dan potensi wakaf dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan di Malaysia. Kajian ini merupakan kajian berbentuk kualitatif yang mana aktiviti pengumpulan data dilaksanakan menerusi metode kepustakaan. Sumber data dalam kajian ini adalah dokumen-dokumen yang terdiri daripada bahan-bahan ilmiah seperti buku-buku, artikel, makalah serta akhbar. Selain itu pengkaji turut mendapatkan data daripada sumber laman sesawang rasmi yang diiktiraf dalam kajian akademik. Setelah itu, dokumen-dokumen berkenaan dianalisis dengan kaedah analisis kandungan bagi melihat sumbangan dan potensi wakaf dalam mencapai matlamat pembangunan mampan berdasarkan kepada tujuh belas matlamat dalam SDG. Hasil kajian mendapati bahawa wakaf juga turut menyumbang dan berpotensi dalam mencapai beberapa matlamat daripada tujuh belas matlamat yang terkandung dalam SDG sepertimana yang dipaparkan dalam dapatan kajian ini.