MENEROKA PENGETAHUAN KAUNSELOR DI SEKOLAH BERKAITAN KAUNSELING ISLAM
Keywords:
Kaunseling Islam, Kaunselor Muslim, SekolahAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka pengetahuan kaunselor Muslim di sekolah berkaitan kaunseling Islam. Reka bentuk kajian kualitatif berasaskan kaedah kajian kes pelbagai kes digunakan dengan sampel kajian seramai 19 orang kaunselor Muslim yang dipilih menggunakan persampelan bertujuan. Data dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kaunselor mempunyai pengetahuan jelas mengenai kaunseling Islam yang meliputi dua tema utama iaitu "Proses kaunseling berasaskan sifat-sifat manusia dan bermatlamatkan akhirat" serta "Modifikasi terhadap kaunseling barat". Berdasarkan tema pertama, kaunselor menekankan kepentingan memahami fitrah manusia serta konsep al-Nafs, al-Qalb, al-Aql, dan al-Ruh. Mereka berpegang kepada matlamat mengembalikan individu kepada fitrah asal dan menjadikan al-Quran serta al-Sunnah sebagai panduan utama. Selain itu, kaunselor melihat peranan mereka sebagai pendakwah yang membimbing klien menjaga ibadah dan berakhlak mulia. Bagi tema kedua pula, kaunselor mengintegrasikan elemen-elemen Islam ke dalam proses kaunseling barat di mana teori-teori barat dijadikan sebagai kerangka proses manakala elemen Islam seperti ayat Al-Quran, hadis, dan nilai akhlak diselitkan sebagai pelengkap. Kajian ini memberikan gambaran bahawa kaunselor sedar akan kepentingan menerapkan nilai-nilai Islam dalam sesi kaunseling dan berusaha mengisi proses kaunseling dengan elemen-elemen Islam agar selari dengan keperluan klien. Walau bagaimanapun, kaunselor perlu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam kaunseling Islam melalui latihan dan pendidikan berterusan, serta pembangunan model dan modul kaunseling Islam yang lebih komprehensif bagi memperkasakan lagi peranan mereka.