KEMAHIRAN MENULIS BAHASA ARAB: ANALISA KELEMAHAN PELAJAR UITM MELAKA
Keywords:
Kelemahan, Kemahiran, Menulis, Bahasa ArabAbstract
Menulis merupakan kemahiran yang penting dalam mempelajari bahasa asing. Melalui menulis pelajar akan dapat menambah kemahirannya yang lain dan dapat meningkatkan penguasaan bahasa. Menulis juga dianggap mustahak dalam apa bentuk sekalipun kerana ia dapat membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Penguasaan kemahiran menulis di kalangan pelajar tidak terhad untuk jangka masa yang pendek sahaja, bahkan berlanjutan sepanjang usia hidup mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar dalam menguasai kemahiran menulis bahasa Arab seterusnya dapat difikirkan langkah penyelesaian terhadap masalah ini. Kajian ini dilakukan terhadap 30 orang pelajar diploma tahun pertama yang mengambil subjek bahasa Arab (TAC151) sebagai bahasa ketiga di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka. Para pelajar juga adalah terdiri dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama di sekolah rendah dan menengah. Kajian ini menggunakan penulisan sampel dalam minggu pembelajaran tanpa dinding (Week Without Wall) yang bertajuk ‘Persiapan menghadapi peperiksaan’ sebagai dapatan data. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kelemahan utama pelajar dalam penulisan adalah melibatkan imlak dan ejaan, penyesuaian gender, penggunaan kata kerja dan penggunaan idhofah. Kertas kerja ini turut membincangkan tentang faktor-faktor yang menyumbang ke arah kelemahan pelajar dalam menguasai kemahiran menulis dan beberapa cadangan penambahbaikan teknik pengajaran pensyarah untuk membantu pelajar menguasai kemahiran menulis bahasa Arab.