TREN PENGUNDIAN DAN DINAMIKA POLITIK CINA DI MALAYSIA
Keywords:
arah sokongan pengundi, pengundi, politik kepartian, dinamika politikAbstract
Kajian ini adalah untuk melihat arah sokongan pengundi-pengundi Cina terhadap parti-parti politik di Malaysia. Asas kajian adalah berdasarkan perubahan sokongan pengundi-pengundi Cina terhadap parti-parti politik sejak selepas kemerdekaan sehingga pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Untuk itu, bagi melihat dinamika politik kepartian Cina ini, kajian ini meninjau tentang budaya politik orang Cina, isu-isu pilihan raya yang menjadi keutamaan kaum Cina, serta arah sokongan pengundi-pengundi Cina terhadap parti-parti politik. Metodologi kajian adalah kombinasi metod kualitatif dan kuantitatif, melalui pengedaran 100 borang soalselidik serta temu-bual dengan pengurusan tertinggi parti-parti politik. Hasil kajian mendapati, pengundi atau masyarakat Cina mempunyai tahap budaya, kesedaran dan penyertaan politik yang tinggi. Pengundi Cina berpegang bahawa politik amat penting dan mengundi adalah wajib bagi menentukan hala tuju pemerintahan negara. Hasil kajian juga mendapati terdapat beberapa isu tertentu yang mendapat perhatian dari pengundi Cina. Di kedudukan pertama, kedua dan ketiga ialah pembangunan, kemudahan awam dan kestabilan dan perpaduan. Manakala berdasarkan temu bual dengan responden yang kesemuanya terdiri dari ahli-ahli politik parti, turut menyatakan bahawa pembangunan dan perpaduan merupakan isu yang menjadi isu keutamaan kaum Cina. Pengundi Cina juga memilih parti-parti politik yang berjuang sama rata antara semua kaum, perpaduan dan keharmonian serta pembangunan dan kemiskinan. Dalam pada itu, melalui tinjauan khusus tentang sokongan terhadap parti-parti politik, pengundi Cina memilih Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional.