ANALISIS GEOGRAFI POLITIK DALAM PILIHAN RAYA KECIL (PRK) PARLIMEN TANJONG PIAI, JOHOR

Authors

  • Junaidi Awang Besar Program Geografi, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (PKPSP), Fakulti Sains Sosial da

Abstract

Geografi politik merupakan salah satu aspek geografi manusia iaitu satu kajian yang lebih besar, tetapi di dalamnya terkandung elemen yang lebih khusus. Geografi politik memberi perhatian kepada fenomena politik dan menumpukan perhatian kepada struktur institusi itu dijalankan serta bagaimana ia terlibat dalam pembentukan corak dan hubungan geografi. Dalam kertas kerja ini, dua aspek geografi politik yang akan dikupas berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjong Piai, Johor iaitu geopolitik dan geografi pilihan raya. Geopolitik bermaksud pengaruh kuasa terhadap sesuatu kawasan dari segi etnik, parti politik, pemimpin, kerajaan dan penguasa setempat. Geografi pilihan raya pula merupakan satu bidang kajian mengenai perbezaan aspek geografi seperti kawasan, persempadanan, kependudukan, pembangunan dan pengaruh ekonomi terhadap trend politik kewilayahan. Sepertimana sedia maklum bahawa BN berjaya menawan kerusi Parlimen Tanjong Piai dalam PRK 2019 yang mana kerusi ini dimenangi PH dalam PRU 2018. Pasca PRU 2018 menyaksikan berlangsungnya PRK Parlimen Tanjong Piai pada 16 November 2019. Calon BN/MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, menang dalam PRK Parlimen Tanjong Piai tersebut dengan majoriti 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi. Justeru, aspek geopolitik yang akan dikupas ialah pengaruh geopolitik etnik, parti politik dan pemimpin dalam mempengaruhi keputusan dan pola pengundian PRK tersebut manakala aspek geografi pilihan raya yang akan dihurai dalam kertas kerja ini ialah pemetaan dari segi pengaruh kawasan (maju-mundur), persempadanan, lokasi (bandar-luar bandar), ketersampaian, fizikal (semula jadi dan buatan manusia). Dari segi geopolitik etnik, didapati kedua-dua etnik Melayu dan Cina menyokong calon MCA/BN daripada etnik Cina disebabkan faktor calon dan identifikasi parti yang kukuh dalam PRK Parlimen Tanjong Piai tersebut manakala dari segi geografi pilihan raya, kawasan Daerah Mengundi luar bandar yang majoritinya daripada etnik Melayu terus kukuh menyokong calon MCA/BN manakala kawasan bandar/pekan yang majoritinya daripada etnik Cina telah berlaku sedikit peralihan undi daripada PH kepada BN/MCA disebabkan faktor calon, keadaan sosioekonomi dan isu semasa yang memberi kelebihan kepada BN/MCA. Antara faktor utama penyumbang majoriti besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, 16 Nov lepas, adalah kerana faktor calonnya iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng itu sendiri. Pesona, populariti dan khidmat bakti Wee, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nenas selama sepenggal, serta Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, nyata menepati tahap kepuasan masyarakat di situ. Bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai itu dilihat lebih berpengalaman, berwibawa dan mesra berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini. Peribadi Wee Jeck Seng dan keampuhan jentera BN dibantu Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional dianggap faktor utama memberi kemenangan besar BN. Kekuatan Jeck Seng juga ditunjangi oleh keampuhan jentera BN dan PAS yang berjaya disatukan menerusi Muafakat Nasional. Faktor tersebut amat signifikan kerana jentera UMNO dan PAS dilihat berusaha keras memastikan setiap pengundi putih dibawa keluar mengundi, walaupun kerusi Parlimen Tanjung Piai ditandingi calon dari MCA. Selain itu, isu-isu kemarahan dan kekecewaan rakyat terutama masyarakat Cina terhadap kegagalan kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup, janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak dipenuhi dan kegagalan PH menangani isu-isu sensasi dimainkan BN juga menyumbangkan kepada faktor kekalahan PH pada kali ini. Calon PH juga dilihat terperangkap dengan isu tercetus akibat kesilapan mereka sendiri di samping kebijaksanaan jentera BN memainkan isu-isu negatif melibatkan Kerajaan PH yang akhirnya mempengaruhi keputusan pengundi.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

24-09-2024

How to Cite

Junaidi Awang Besar. (2024). ANALISIS GEOGRAFI POLITIK DALAM PILIHAN RAYA KECIL (PRK) PARLIMEN TANJONG PIAI, JOHOR. INTERNATIONAL JOURNAL OF LAW, GOVERNMENT AND COMMUNICATION (IJLGC), 5(20). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijlgc/article/view/2072