PRESTASI UMNO DAN PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) DALAM PRU-14 DAN PASCA PRU-14
Abstract
Pilihan Raya Umum ke 14, 2018 (PRU-14, 2018) telah berlangsung dan selesai dengan tenang dan penuh kejutan. Buat pertama kalinya, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi United Malays National Organization (UMNO) telah tewas kepada parti pembangkang utama ketika itu iaitu Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN). Dengan itu, BN/UMNO juga gagal mempertahankan kuasa setelah 63 tahun menguasai pemerintahan Kerajaan Persekutuan. Suasana euphoria atau perasaan keriangan dalam kalangan rakyat di negara ini hasil keputusan PRU 2018 menuntut kepada perlunya satu suasana pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang baru iaitu berlainan daripada pemerintahan Kerajaan BN sebelum ini. Suasana baru tersebut turut disebut sebagai ‘Malaysia Baharu’. Keputusan PRU 2018 dapat disorot kepada prestasi parti politik yang bertanding dalam PRU tersebut. Dalam konteks penulisan artikel ini, UMNO dan AMANAH dipilih untuk dianalisis prestasi parti politik tersebut dalam PRU 2018 kerana status UMNO sebagai parti politik yang lama (ditubuh pada tahun 1946) manakala AMANAH merupakan parti politik yang baru ditubuhkan iaitu pada tahun 2015 yang merupakan parti serpihan PAS. Ini adalah penting untuk melihat prestasi parti lama yang berpengalaman dalam selok belok politik dan pemerintahan (UMNO) dan parti baru yang realistik, profesional, progresif dan dinamik (AMANAH) yang terbentuk hasil daripada parti induk/asal (PAS) yang dilihat tidak sesuai dengan komposisi etnik yang bercampur di negara ini dan dilihat konservatif. Penulisan makalah ini menggunakan data primer (keputusan PRU 2018) dan olahan data sekunder maklumat daripada sumber yang telah diterbitkan) yang dianalisis secara kritikal dan rasional serta berdasarkan kepada ‘real politic’ semasa di negara ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa meskipun UMNO selaku tunjang dalam BN telah tewas pada peringkat persekutuan dan beberapa negeri namun parti politik tersebut masih mengekalkan penguasaan di kawasan majoriti pengundi etnik Melayu di kawasan luar bandar. UMNO berjaya menguasai Kerajaan Negeri Pahang dan Perlis disamping menjadi pembangkang majoriti di Parlimen. AMANAH pula meskipun bertanding tidak banyak kerusi Parlimen dan DUN hasil daripada pembahagian kerusi pilihan raya antara parti-parti dalam PH namun masih berjaya memenangi kerusi di kawasan bandar dan separa bandar yang berkomposisikan etnik campuran. Wakil rakyat daripada AMANAH juga berjaya menguasai jawatan Menteri Besar di Negeri Melaka di samping mendapat jawatan EXCO dalam beberapa Kerajaan Negeri dan juga jawatan Menteri serta Timbalan Menteri pada peringkat Persekutuan. Pasca PRU 2018 pula memperlihatkan berlakunya beberapa senario isu semasa yang melibatkan kelangsungan politik UMNO dan AMANAH seterusnya boleh mempengaruhi halatuju kedua-dua parti tersebut menuju PRU akan datang.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
24-09-2024
How to Cite
Junaidi Awang Besar. (2024). PRESTASI UMNO DAN PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) DALAM PRU-14 DAN PASCA PRU-14. INTERNATIONAL JOURNAL OF LAW, GOVERNMENT AND COMMUNICATION (IJLGC), 6(24). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijlgc/article/view/2150
Issue
Section
Articles