MANIFESTASI BUDAYA PERADABAN MELAYU DALAM NOVEL KASYAF AIN: SUATU APLIKASI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU
Abstract
Novel merupakan salah sebuah medium karya sastera untuk menonjolkan sesebuah gagasan atau idea pemikiran pengarangnya. Antara persoalan penting yang ditonjolkan adalah mengenai budaya peradaban sesebuah masyarakat termasuklah budaya Melayu. Bukan sekadar nilai estetika yang diutamakan sebaliknya kepentingan isi dalam pembentukan modal insan dan pendidikan tidak diabaikan. Novel Kasyaf Ain (2018) karya Ramlee Awang Murshid dipilih sebagai bahan kajian kerana memaparkan tradisi budaya peradaban masyarakat Melayu dengan persekitarannya. Kepelbagaian teknik seperti dialog, monolog, imbas kembali dan perlambangan telah digunakan oleh pengarang secara kreatif untuk mengolah dan mengetengahkan persoalan kepercayaan, konsep keimanan, amalan nilai-nilai murni dan tradisi masyarakat Melayu dalam novel ini. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimana faktor persekitaran digarap bagi mengetengahkan persoalan kepercayaan dan nilai-nilai tradisi dalam karya ini berlandaskan Teori Pengkaedahan Melayu (TPM) yang dicetuskan oleh Hashim Awang (2002). TPM diaplikasikan sebagai kerangka kajian ini bagi mengesahkan bahawa teori ini dapat dijadikan sandaran untuk membuktikan manifestasi budaya peradaban masyarakat Melayu dalam novel ini. Justeru itu, budaya peradaban Melayu dalam novel ini akan dianalisis menerusi pengkaedahan alamiah dan pengkaedahan keagamaan menerusi TPM. Kaedah kajian kualitatif ini adalah berbentuk analisis kandungan dan budaya peradaban Melayu ini akan dianalisis melalui setiap bab dalam novel untuk memperlihatkan manifestasi tersebut. Dapatan kajian ini mendapati novel Kasyaf Ain memperlihatkan faktor persekitaran seperti alam sekitar, kepercayaan dan nilai-nilai tradisi dalam kehidupan membentuk kepada cara hidup dan budaya peradaban masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada ajaran Islam tetapi tetap terikat dengan kepercayaan dan amalan tradisi yang menentukan corak kehidupan mereka. Intihannya, novel ini mampu menjadi alat untuk mengembangkan pengetahuan dan pendidikan kepada masyarakat, khususnya generasi muda mengenai budaya peradaban masyarakat Melayu secara intelektual dan praktikal.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
24-09-2024
How to Cite
Norazilah Buhari, Nor Azlili Hassan, Nik Norazira Abd Aziz, & Mohd Syuja Saedin. (2024). MANIFESTASI BUDAYA PERADABAN MELAYU DALAM NOVEL KASYAF AIN: SUATU APLIKASI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU. INTERNATIONAL JOURNAL OF LAW, GOVERNMENT AND COMMUNICATION (IJLGC), 7(28). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijlgc/article/view/2205
Issue
Section
Articles