WAKAF DIGITAL DI MALAYSIA: ANALISIS PERUNDANGAN DAN CABARAN SEMASA
Keywords:
Wakaf, Wakaf Digital, Undang-Undang, Cabaran, PengurusanAbstract
Wakaf digital adalah salah satu cara untuk mendermakan wang bagi tujuan beribadah melalui platform internet berdasarkan konsep wakaf di dalam Islam yang bermaksud mewakafkan harta atau aset kerana Allah. Wakaf digital mempunyai banyak potensi untuk pembangunan masyarakat Islam, tetapi tidak terlepas daripada menghadapi beberapa isu dan cabaran undang-undang di Malaysia. Kajian ini mengkaji status undang-undang wakaf digital di Malaysia dan mengenal pasti isu dan cabaran semasa yang timbul dari ketidakseragaman undang-undang wakaf mengikut negeri, ketidakpastian status undang-undang wakaf, ketidakpastian status hukum wakaf digital, ketiadaan pengesahan wakaf digital yang mencukupi dan ketidakcekapan pentadbiran dan pengurusan wakaf dan wakaf digital. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan kaedah kajian literatur untuk pengumpulan data. Data yang diperoleh dari dokumen-dokumen seperti jurnal, buku, data atas talian tentang wakaf digital di Malaysia dianalisis menggunakan analisis kandungan, analisis induktif, dan analisis deduktif. Kajian ini mendapati bahawa isu dan cabaran ini menghalang potensi dan kesan wakaf digital dan memerlukan penyelesaian segera dan berkesan untuk memperbaiki situasi. Kajian ini mencadangkan beberapa penyelesaian, seperti menyelaraskan undang-undang wakaf mengikut negeri, menjelaskan status hukum wakaf digital, memperbaiki pengesahan wakaf digital, meningkatkan pentadbiran dan pengurusan wakaf digital, menggunakan platform crowdfunding untuk mengumpul dana wakaf digital, menggunakan aplikasi mudah alih untuk memudahkan wakaf digital dan menggunakan sistem blockchain untuk meningkatkan keselamatan dan ketelusan wakaf digital. Kajian ini menyimpulkan bahawa perlunya tindakan segera untuk merangka dasar dan undang-undang yang mampan bagi mengatasi cabaran yang dihadapi dan mampu untuk meningkatkan tadbir urus dan pengurusan wakaf digital yang efisien.