JENIS KESALAHAN TERHADAP REKOD AWAM DAN ARKIB AWAM SERTA HUKUMANNYA DI MALAYSIA: ANALISIS AWAL TERHADAP AKTA ARKIB NEGARA 2003 (AKTA 629)
Keywords:
Kesalahan, Rekod Awam, Arkib Awam, Akta Arkib Negara 2003Abstract
Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) merupakan suatu akta yang digubal bertujuan untuk memastikan rekod awam dan arkib awam di Malaysia dapat dipelihara dengan baik bagi kegunaan rujukan masa kini dan masa hadapan. Di antara peruntukan di dalam akta ini ialah berkaitan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rekod awam dan arkib awam serta hukuman-hukuman kepada pesalah yang melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, objektif kertas ini disediakan ialah untuk menganalisis persoalan apakah jenis-jenis kesalahan dan hukuman tersebut. Selain itu, jenis kesalahan dan hukuman yang terdapat di di dalam akta ini akan dibuat perbandingan dengan jenis kesalahan dan hukuman yang terdapat di dalam undang-undang berkaitan rekod awam dan arkib awam yang sedang dikuatkuasakan di negara-negara luar. Kaedah yang digunakan untuk menganalisis persoalan ini ialah dengan menggunakan kaedah sorotan kesusasteraan (literature review) terhadap kandungan sumber-sumber maklumat seperti buku, artikel, akta, peraturan dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan. Berdasarkan analisis ini, penemuannya ialah didapati terdapat lima jenis kesalahan terhadap rekod awam dan arkib awam serta satu jenis hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini. Selain itu didapati wujud beberapa perbezaan dan persamaan berkaitan jenis kesalahan dan hukuman di bawah akta ini jika dibandingkan dengan jenis kesalahan dan hukuman berkaitan rekod dan arkib awam yang sedang dikuatkuasakan di negara luar. Penemuan ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam di dalam kertas ini. Diharap perbincangan daripada kertas ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan pengetahuan pembaca tentang jenis kesalahan dan hukuman berkaitan rekod awam dan arkib awam yang sedang dikuatkuasa di bawah Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) di Malaysia serta perbandingannya dengan negara-negara luar. Diharap juga penemuan daripada analisis awal ini akan dapat menjadi pemangkin kepada penyelidikan yang lebih mendalam berkaitan persoalan ini pada masa hadapan.