KAEDAH PENDALILAN QIYAS DAN APLIKASINYA DALAM KEWANGAN ISLAM SEMASA
Keywords:
Fiat, Qiyas, Usul Fiqh, Sukuk, ZakatAbstract
Qiyas memainkan peranan yang penting dalam pembinaan hukum Syarak di mana ia merupakan di antara dalil-dalil utama untuk dijadikan hujah dalam ilmu usul al-fiqh. Walaupun usul al-fiqh adalah ilmu yang membincangkan tentang proses istinbat hukum dan ia merupakan satu keperluan bagi mereka yang terlibat dalam bidang pengeluaran hukum, namun melihat kepada keadaan semasa, didapati ilmu usul al-fiqh terutama dari segi penulisan agak kurang mendapat perhatian, apatah lagi dalam bidang pengeluaran hukum yang berkaitan kewangan Islam. Oleh itu, antara dalil usul fiqh yang sesuai untuk menyelesaikan isu-isu moden yang tidak dicontohkan oleh zaman silam adalah dalil qiyas. Qiyas merupakan dalil yang penting dalam menentukan elemen persamaan dari sudut ‘illah hukum terhadap perkara yang telah disebutkan oleh nas Syarak kepada perkara baharu. Selain itu, dalil ini diterima sebagai hujah oleh para ulama yang muktabar di kalangan mazhab sunni yang empat. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis aplikasi pendalilan qiyas terhadap amalan kewangan Islam semasa. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif di mana ia melibatkan kajian kepustakaan merangkumi buku, jurnal dan pekeliling yang berkaitan. Bahan-bahan yang diperolehi akan dianalisis menggunakan metode analisis dokumen. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa praktis dalam kewangan Islam yang dilaksanakan berdasarkan kepada justifikan dalil qiyas. Antara praktis tersebut merangkumi isu mata wang fiat, isu keperluan minimum aset fizikal dalam sukuk, isu zakat perhiasan (emas dan perak) dan isu zakat saham syarikat senaraian awam. Justeru, boleh disimpulkan bahawa dalil qiyas memainkan peranan yang penting dalam menjadi rujukan utama kepada isu-isu berkenaan kewangan Islam semasa. Oleh itu, adalah disyorkan agar pengendali industri kewangan Islam semasa memahami dalil qiyas dengan sebaiknya.