KESAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASALAH DAN PEMBELAJARAN KOLABORATIF BERBANTUKAN GEOMETER’S SKETCHPAD TERHADAP KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DAN KEMAHIRAN KOLABORATIF PELAJAR TINGKATAN EMPAT
Keywords:
Geometer’s Sketch Pad, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Kemahiran Kolaboratif, Pelajar Tingkatan Empat, Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pembelajaran KolaboratifAbstract
Kajian ini dijalankan untuk menentukan kesan Pembelajaran Berasaskan Masalah dan Pembelajaran Kolaboratif Berbantukan Geometer's Sketchpad (PBMPKG) terhadap empat tahap kemahiran berfikir aras tinggi pelajar Tingkatan Empat iaitu Mengaplikasi, Menganalisis, Menilai dan Mencipta. Selain itu, kajian ini juga dijalankan untuk menentukan kesan PBMPKG terhadap empat konstruk kemahiran kolaboratif pelajar Tingkatan Empat iaitu Faedah Akademik, Faedah Sosial, Kemahiran Generik dan Aspek Negatif. Sebuah modul PBMPKG telah dibangunkan sebagai panduan kepada guru Matematik Tambahan untuk memupuk kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran kolaboratif pelajar. Ujian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (UKBAT) juga dibangunkan untuk mentaksir tahap KBAT. Manakala, soal selidik Kemahiran Kolaboratif Terhadap Matematik Tambahan (SKMT) digunakan untuk mentaksir konstruk kemahiran kolaboratif. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen ujian pra dan ujian pasca yang melibatkan 270 sampel pelajar bagi UKBAT dan 180 sampel pelajar bagi SKMT yang terdiri daripada kalangan pelajar Tingkatan Empat di daerah Lahad Datu, Sabah. UKBAT melibatkan tiga kumpulan intervensi iaitu kumpulan PBMPKG, PBM dan Tradisional, manakala SKMT melibatkan dua kumpulan intervensi iaitu kumpulan PBMPKG dan PBM. Hasil dapatan kajian UKBAT menunjukkan kumpulan PBMPKG menghasilkan skor min ujian pasca secara signifikan lebih tinggi berbanding kumpulan PBM dan Tradisional dalam keempat-empat tahap kemahiran berfikir aras tinggi. Manakala, hasil dapatan kajian SKMT menunjukkan kumpulan PBMPKG menghasilkan skor min ujian pasca secara signifikan lebih tinggi berbanding kumpulan PBM dalam keempat-empat konstruk kemahiran kolaboratif. Ini menunjukkan bahawa kaedah PBMPKG memberi kesan positif dalam usaha membantu perkembangan kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran kolaboratif pelajar Tingkatan Empat. Oleh itu, para pendidik khasnya guru Matematik Tambahan disarankan untuk mengintegrasikan PBMPKG dalam amalan PdPc Matematik Tambahan mereka untuk meningkatkan tahap kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran kolaboratif dalam kalangan pelajar.