TRANSPARENSI DALAM PELAKSANAAN PROSEDUR OPERASI STANDARD KUTIPAN ZAKAT DI LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH (LZNK)
Keywords:
Transparensi, Prosedur Operasi Standard (SOP), Kutipan Zakat, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), IntegritiAbstract
Transparensi ialah suatu elemen penting mengenal pasti amalan dan praktis kerja berteraskan integriti dalam sesebuah organisasi. Di Kedah, organisasi seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah begitu menekankan prinsip integriti dalam pengamalan tadbir urusnya. Namun permasalahannya, LZNK turut tidak terkecuali daripada berdepan dengan isu integriti seperti amil palsu,
penggunaan cop atau resit palsu, dan banyak lagi. Ia turut dikeruhkan dengan pandangan negatif masyarakat awam berkenaan isu pengagihan wang atau dana zakat kepada golongan asnaf yang layak menerima zakat namun tidak mendapat bantuan zakat. Justeru, artikel ini diketengahkan bertujuan meneliti konsep transparensi dalam tadbir urus organisasi, selain menganalisis transparensi dalam pelaksanaan prosedur operasi standard kutipan zakat di Lembaga Zakat Negeri Kedah. Metod kajian berasaskan kajian kualitatif dengan menggunakan kajian kepustakaan dan temu bual mendalam sebagai asas kepada kaedah pengumpulan data. Dari sudut analisis data, analisis tekstual deskriptif digunakan untuk meneliti konsep dan analisis transparensi terutamanya dalam prosedur operasi standard kutipan zakat di LZNK. Dapatan awal kajian memperolehi bahawa kutipan zakat yang dilaksanakan oleh LZNK dibuat berasaskan SOP yang disediakan. Namun elemen transparensi masih banyak yang perlu ditambahbaik oleh LZNK terutamanya dalam proses melancarkan kutipan zakat di seluruh Kedah. Implikasi kajian ini bertumpu kepada penambahbaikan prosedur operasi standard kutipan zakat di LZNK di satu sisi, dan di sisi lain ialah mengetengahkan LZNK sebagai sebuah organisasi zakat terunggul di persada lokal dan antarabangsa