ANALISIS KEPERLUAN PEMBANGUNAN MODUL PENGAJARAN PENDIDIKAN AKHLAK UNTUK GURU PRASEKOLAH
Keywords:
Analisis Keperluan, Pembangunan Modul, Pengajaran Pendidikan Akhlak, Guru PrasekolahAbstract
Kajian ini mengkaji keperluan pembangunan modul pengajaran pendidikan akhlak Assimilate Like Muhammad (ALiM) untuk guru prasekolah, selari dengan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 yang menekankan pendidikan berkualiti dan inklusif. Kajian ini dijalankan bagi membangunkan Modul Akhlak Assimilate Like Muhammad (ALiM) sebagai Panduan Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Pendekatan Reka Bentuk dan Penyelidikan Pembangunan (DDR) diaplikasikan dalam kajian ini. Fasa Analisis Keperluan ini dijalankan sebagai proses tinjauan literatur sistematik dan sesi soal selidik kepada guru prasekolah. Soal selidik terdiri daripada 41 item yang merangkumi elemen tahap pengetahuan dan kemahiran guru dalam pendidikan Akhlak kanak-kanak. Kajian ini melibatkan 90 guru prasekolah dalam kategori tadika swasta dari zon selatan yang terdiri daripada 30 orang guru dari setiap daerah. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian Statistical for Social Science (SPSS) bagi mendapatkan data statistik deskriptif yang melibatkan peratusan, frekuensi, dan purata secara keseluruhan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan guru iaitu sebanyak 66.1% mempunyai tahap pengetahuan yang sederhana diikuti 25.9% tahap tinggi. Hanya 8.0% sahaja mempunyai tahap pengetahuan yang rendah. Tahap kemahiran pula menunjukkan lebih separuh daripada responden berada pada tahap sederhana iaitu 55.6%, diikuti 32.5% tahap tinggi, dan hanya 11.9% pada tahap rendah. Skor min bagi tahap pengetahuan dan kemahiran adalah sederhana, iaitu 66.7 dan 67.7. Secara keseluruhan, sebanyak 96.8% pendidik merasa bahawa modul pengajaran pendidikan akhlak ALiM perlu dibangunkan dan berminat untuk menggunakannya sebagai alat pengajaran serta menganggapnya sangat penting sebagai rujukan guru prasekolah dalam melaksanakan pengajaran yang menyeronokkan dan berkesan. Kajian ini mencadangkan modul latihan ALiM dibangunkan dengan keperluan guru dalam fikiran dan dijangka membantu guru meningkatkan penguasaan konseptual mereka dan pelajar, sejajar dengan aspirasi SDG 4 dalam meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.