PELAKSANAAN MEKANISME KUTIPAN ZAKAT PERNIAGAAN: SATU PENDEKATAN PROAKTIF OLEH LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH (LZNK)
Keywords:
Lembaga Zakat Negeri Kedah, Mekanisme Kutipan Zakat Perniagaan, Usahawan Muslim, Zakat PerniagaanAbstract
Zakat perniagaan merupakan antara penyumbang utama kepada kutipan zakat harta di Kedah. Walaupun jumlah usahawan Muslim semakin ramai namun jumlah kutipan zakat perniagaan masih belum mencapai sasaran. Tahap keefisyenan mekanisme kutipan zakat adalah antara faktor yang mempengaruhi hasil kutipan zakat. Selaras dengan itu, kertas kerja ini bertujuan meneroka pelaksanaan mekanisme proaktif bagi meningkatkan kutipan zakat perniagaan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Kajian ini adalah berbentuk kualitatif dengan menggunakan teknik pengumpulan data melalui temu bual bersemuka menggunakan protokol temu bual berstruktur dan analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan terdapat pelbagai mekanisme proaktif yang dipraktikkan oleh LZNK. Antaranya, kempen ziarah ke kompleks perniagaan bagi mendekati usahawan Muslim termasuk di luar waktu pejabat, pewujudan mekanisme kutipan zakat yang inovatif menggunakan teknologi maklumat seperti platform pembayaran zakat atas talian serta seruan di media sosial, penawaran mekanisme agihan balik kepada pembayar korporat, pelaksanaan projek dan skim bantuan zakat berimpak tinggi serta seruan zakat secara tidak langsung melalui pelbagai saluran. Pelaksanaan mekanisme proaktif telah berjaya menyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan zakat perniagaan walaupun masih belum mencapai jumlah kutipan sasaran. Perlaksanaan mekanisme proaktif tersebut juga menunjukkan komitmen tinggi LZNK terhadap tanggungjawab mereka di sisi agama dan masyarakat khususnya golongan usahawan Muslim.