KEPEMIMPINAN SUAMI DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEFUNGSIAN KELUARGA: SATU PERBINCANGAN
Keywords:
Kepemimpinan, Peranan, Suami, Kefungsian Keluarga, IslamAbstract
Keluarga merupakan asas kepada pembinaan masyarakat. Keluarga yang dapat berfungsi dengan baik tidak hanya penting kepada masyarakat bahkan kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Namun begitu, kes-kes perceraian yang semakin meningkat, konflik rumahtangga yang tidak berkesudahan, penglibatan anak-anak dengan aktiviti negatif dan tidak bermoral serta pelbagai lagi masalah dalam keluarga menggambarkan kegagalan institusi keluarga berfungsi. Bagi menangani masalah dalam keluarga peranan pemimpin keluarga sangat penting kerana perkara-perkara baik dalam sebuah keluarga tidak terjadi begitu sahaja tanpa adanya perancangan dan persediaan daripada seorang pemimpin. Untuk itu, artikel ini akan membincangkan kepemimpinan suami dalam perspektif Islam dan hubungannya dengan kefungsian keluarga. Justeru itu, sorotan literatur melibatkan kitab-kitab fiqh, tafsir, hadis dan kajian-kajian lepas berkaitan topik dijalankan bagi mendapatkan perbincangan yang menyeluruh. Hasil kajian mendapati kepemimpinan dalam keluarga merupakan kewajipan yang perlu digalas suami dengan sebaiknya. Ketidakfungsian suami sebagai pemimpin keluarga menyebabkan ketidakfungsian sebuah keluarga lantaran itu sebuah perkahwinan boleh difasakhkan. Implikasi dari kajian ini membekalkan pemahaman awal bahawa keluarga yang dapat berfungsi dengan baik sangat bergantung kepada kepemimpinan suami. Justeru usaha memperkukuhkan institusi keluarga seharusnya bermula dari akar umbi kepemimpinan dengan memfokuskan peranan suami.