KECERDASAN ROHANI DAN INTEGRITI: SATU KAJIAN RINTIS DALAM KALANGAN PELAJAR IPTA MUSLIM DI MALAYSIA
Keywords:
Kecerdasan Rohani, Integriti, Pelajar IPTAAbstract
Kecerdasan rohani adalah elemen penting ke arah pembentukan personaliti mulia dalam diri seseorang. Memandangkan pelajar universiti adalah bakal modal insan negara, mereka perlu mempunyai kecerdasan rohani untuk mencapai tahap integriti yang tinggi. Kajian rintis ini dijalankan untuk mengenal pasti kebolehpercayaan instrumen bagi mengukur tahap kecerdasan rohani dan pemahaman tentang integriti dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Muslim di Malaysia. Kajian ini berdasarkan kepada reka bentuk kajian kuantitatif dan kaedah yang digunakan adalah persampelan rawak berstrata dengan saiz sampel 30 orang pelajar Islam dari universiti awam di seluruh Malaysia. Instrumen penyelidikan yang digunakan adalah soal selidik. Penggunaan soal selidik digital iaitu “google form” membolehkan data dikumpul dan dianalisis dengan cepat. Penelitian ke atas kajian-kajian lepas dilakukan bagi membina instrumen kedua pemboleh ubah ini. Nilai pekali cronbach alpha bagi instrumen kecerdasan rohani adalah 0.848 manakala nilai pekali cronbach alpha bagi instrumen integriti adalah 0.756. Dengan itu, kebolehpercayaan pemboleh ubah bagi instrumen ini boleh diterima. Data kajian dianalisis dengan menggunakan IBM “Statistical Package of Social Science” (SPSS) versi 26 untuk menilai kekerapan, peratusan, purata dan ujian korelasi. Analisis data mengenai kecerdasan rohani dilakukan dengan menggunakan ujian deskriptif kekerapan di mana min antara 4.53 hingga 5.83 diperolehi. Keputusan ini menunjukkan tahap kecerdasan rohani adalah tinggi dalam kalangan pelajar. Sementara itu, ujian integriti dilakukan menggunakan ujian kekerapan juga di mana ia menunjukkan majoriti pelajar memahami erti integriti. Hasil ujian korelasi r = 0.138 menunjukkan hubungan yang positif tetapi lemah dalam perhubungan antara kedua pemboleh ubah kecerdasan rohani dan integriti dalam kajian ini dan P = 0.467 menunjukkan hubungan ini tidak signifikan. Metodologi kajian ini menunjukkan bukti empirikal terhadap tahap kecerdasan rohani dan pemahaman integriti dalam kalangan pelajar IPTA Muslim di Malaysia pada masa kini.