TERJEMAHAN AL-’ISTICĀRAH AL-TAMTHīLIYYAH DALAM HADIS RASULULLAH S.A.W
Keywords:
Penterjemahan, Al-’Isticārah al- Tamthīliyyah, Hadis Rasulullah S.A.WAbstract
Penterjemahan merupakan satu proses menyalin semula maklumat yang terkandung dalam teks sumber ke dalam sumber penerima sebagai penerangan, pentafsiran dan penjelasan. Bidang penterjemahan telah melalui proses pemodenan yang drastik selari dengan perkembangan sains dan teknologi. Kajian berkaitan terjemahan hadis masih belum memadai, tambahan pula perkembangan bahasa sentiasa berubah menurut perubahan semasa dan keperluan masyarakat terhadap hadis yang makin terserlah kerana adanya kesedaran agama yang kian bertambah. Selain itu kedudukan hadis Rasulullah s.a.w yang merupakan jawāmic al-kalim mempunyai ciri-ciri bahasa yang istimewa dan tersendiri amat memerlukan kepada kepakaran dalam penterjemahan maksudnya. Kajian ini akan cuba menganalisis terjemahan al-’Isticārah al-Tamthīliyyah dalam beberapa hadis pilihan daripada kitab Riyāḍ al-Ṣāliḥīn dengan menggunakan metod kajian teks. Antara tujuan analisis tersebut adalah untuk melihat dengan lebih dekat metodologi penterjemahan al-’Isticārah al-Tamthīliyyat yang digunakan oleh penterjemah kitab Riyāḍ al-Ṣāliḥīn terbitan JAKIM. Dapatan kajian ini dapat dirumuskan bahawa penterjemah menterjemahkan matan hadis-hadis yang dikaji berdasarkan zahir nas tanpa menekankan aspek metafora al-’Isticārah al-Tamthīliyyah dan tujuan perumpamaan itu dibuat. Ia boleh dikategorikan sebagai terjemahan harfiah/literal. Dalam hal ini penulis berpandangan bahawa penterjemahan al-’Isticārah al-Tamthīliyyah dari bahasa sumber ke bahasa sasar khususnya bahasa Arab ke bahasa Melayu perlu kepada penjelasan maksud dari sudut balaghah dengan menjelaskan tujuan perumpamaan itu dibuat agar para pembaca terjemahan tersebut dapat memahami dengan jelas maksud yang tersirat. Penjelasan tersebut boleh dijadikan sebagai nota kaki pada setiap terjemahan berkaitan. Selain itu, pemahaman penterjemah tentang unsur metafora dalam budaya asal merupakan faktor penting bagi menghasilkan terjemahan yang bermutu. Diharap dapatan kajian ini akan menyumbang kepada perkembangan penterjemahan hadis di Malaysia dan membantu para pembaca terjemahan kitab Riyāḍ al- Ṣāliḥīn dalam memahami makna hadis dengan jelas.