KECERDASAN BUATAN DALAM PENJAGAAN KESIHATAN: ANALISIS DARI SUDUT PANDANG MAQASID AL-SHARIAH
Keywords:
Kecerdasan Buatan, Penjagaan Kesihatan, Maqasid Al-ShariahAbstract
Kecerdasan Buatan (AI) adalah teknologi yang semakin berkembang terutamanya di dalam sektor kesihatan. Teknologi ini menjanjikan peningkatan kualiti kerja yang efektif dan berkesan dalam mendiagnosis, menyediakan rawatan dan menguruskan penyakit. Pertumbuhan pesat dalam teknologi ini turut menimbulkan risiko etika dan keadilan serta boleh membawa kepada potensi pelanggaran prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah. Maqasid al-Shariah merangkumi penjagaan hifz al-nafs (pemeliharaan jiwa), hifz al-maal (pemeliharaan harta), hifz al-nasl (pemeliharaan keturunan), hifz al-'aql (pemeliharaan akal), dan hifz al-din (pemeliharaan agama). Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis hubungan antara Kecerdasan Buatan (AI) dan Maqasid al-Shariah dalam konteks kesihatan.. Kajian ini akan memberikan tumpuan terhadap perspektif kesihatan Islam dan bagaimana penerapan AI dalam bidang ini boleh mempengaruhi pencapaian tujuan-tujuan tersebut. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah berasaskan kepada reka bentuk kualitatif. Kaedah pengumpulan datanya pula dengan melakukan kajian perpustakaan untuk memahami keadaan semasa, perkembangan terkini, dan isu-isu yang berkaitan dengan kajian. Bahan yang berkaitan dianalisis dengan pengguaan kecerdasan buatan dalam bidang kesihatan dan relevansi dengan prinsip Maqasid al-Shariah. Hasil kajian mungkin menghasilkan cadangan dan panduan bagi pembangunan teknologi yang sejajar dengan prinsip-prinsip Islam, termasuk penekanan pada etika, keadilan, dan pemeliharaan nilai-nilai agama.