PROFIL AGROPRENEUR MUDA PKS BERJAYA DI UTARA SEMENANJUNG MALAYSIA: ANALISIS DESKRIPTIF
Keywords:
Keusahawanan, Sektor Agrikultur, Program Agropreneur Muda, Agropreneur Muda PKS BerjayaAbstract
Isu berkaitan keusahawanan dalam sektor agrikultur khususnya yang melibatkan agropreneur muda PKS semakin mendapat perhatian di Malaysia. Hingga kini, sektor agrikultur masih kekal menjadi penyumbang ketiga terpenting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selepas sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pembangunan dan usaha memperkasakan sektor agrikultur yang masih ketandusan penglibatan golongan muda terutamanya yang berpendidikan tinggi dalam menjana ekonomi negara dan melahirkan agropreneur muda PKS berjaya perlu diatasi segera. Justeru itu, menjadi satu keperluan membangunkan profil agropreneur muda PKS berjaya agar landskap sektor agrikultur dapat ditransformasikan daripada sektor yang dipelopori oleh golongan tua kepada golongan muda yang mempunyai pemikiran keusahawanan, kemahiran keusahawanan dan sikap keusahawanan. Jadi, objektif kajian ini adalah untuk membangunkan profil agropreneur muda PKS berjaya di Utara Semenanjung Malaysia. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah kuantitatif melalui pengedaran borang soal selidik kepada agropreneur muda PKS yang menjadi peserta Program Agropreneur Muda. Sebanyak 289 data dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 23. Dapatan kajian menunjukkan majoriti daripada agropreneur muda PKS berjaya mempunyai tahap pendidikan tinggi, iaitu berkelulusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dan terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil pertanian seperti tanaman, ternakan dan perikanan. Implikasi daripada kajian ini diharapkan dapat mengubah persepsi dan mentaliti golongan muda terhadap sektor agrikultur dan seterusnya berupaya menarik minat golongan muda terutamanya yang berpendidikan tinggi untuk menceburi sektor agrikultur sebagai satu bidang kerjaya yang menguntungkan