PEMBIAYAAN MIKRO KREDIT QARD HASAN MELALUI DANA ZAKAT: ANALISIS PELAKSANAANNYA DI NEGERI KEDAH
Keywords:
Qard Hasan, Pembiayaan Mikro, Zakat, LZNK, KedahAbstract
Qard hasan merupakan suatu kontrak dalam muamalat Islam yang merujuk kepada pinjaman tanpa faedah. Ia sebagai salah satu cara memberikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan tanpa dibebankan dengan faedah ketika pembayaran semula oleh peminjam. Instrumen ini menonjolkan konsep ta’awun dan ihsan sebagai hikmah dalam pensyariatan akad qard hasan sebagai suatu akad yang berasaskan tabarru’ (kebajikan). Disebabkan perkara tersebut, konsep akad ini dilihat tidak komersial sebagai sebuah produk oleh institusi perbankan yang bermotifkan keuntungan. Oleh itu, konsep qard hasan ini berpotensi dilaksanakan melalui instrumen zakat disebabkan tujuan dan asas yang sama iaitu membantu golongan yang memerlukan. Kajian ini dilaksanakan bagi melihat pelaksanaan pembiayaan mikro kredit-qard hasan menggunakan dana zakat oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA). Kajian ini dijalankan melalui kaedah kualitatif iaitu menggunakan kajian perpustakaan dan kajian lapangan untuk pengumpulan data. Penyelidikan dilaksanakan dengan meneliti artikel, statut, buku dan pekeliling berkaitan. Dari aspek empirikal, kajian lapangan telah dijalankan dengan kaedah temu bual tidak berstruktur dengan seorang pegawai LZNK. Dapatan kajian mendapati program Smart SBBA yang dianjurkan oleh LZNK ini merupakan satu kaedah membantu golongan asnaf bagi menambah pendapatan bulanan dengan melibatkan asnaf dalam pengusahaan sawah padi. Sepanjang tempoh tersebut juga, para peserta juga diberikan pinjaman secara qard hasan melalui dana zakat sebagai sara hidup. Didapati program ini berjaya membantu golongan asnaf keluar daripada kancah kemiskinan selain berpotensi menjadi pembayar zakat untuk masa hadapan.