EKSPERIMENTASI PENGHASILAN WARNA LICAU MENGGUNAKAN PELBAGAI JENIS BATUAN DI SABAH
Keywords:
Licau, Batuan, Triaxial Line Blend, Kaolin, OxideAbstract
Seramik merupakan objek seni yang tertua pernah dihasilkan oleh manusia sejak zaman pra sejarah lagi. Seramik terhasil dari tanah liat dan akan bertukar karakter apabila didedahkan pada suhu yang tinggi melebihi darjah 1200 celcius. Produk seramik diliputi dengan lapisan kekaca yang lebih dikenali sebagai licau dan mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap suhu atau haba. Penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mendokumentasikan penghasilan warna licau secara sistematik menggunakan pelbagai jenis batuan di Sabah seperti batu Sungai Moyog, batu Lombong Mamut, dan batu Kompleks Sukan Ranau pada permukaan jasad spesimen yang dihasil menggunakan kaolin. Selain itu, penyelidikan ini juga bertujuan untuk mengenalpasti tindakbalas sampel ujikaji menggunakan campuran peratusan yang berbeza menggunakan formula “Triaxial Line Blend” terhadap permukaan kaolin yang melibatkan aspek bahan, jenis pembakaran dan teknik-teknik dekorasi. Penghasilan warna licau menggunakan bahan semulajadi iaitu batu Sungai Moyog, batu Lombong Mamut, dan batu Kompleks Sukan yang terdapat di sekitar Ranau dan Kota Kinabalu, Sabah merupakan satu pembaharuan dalam penghasilan warna bersumberkan bahan semulajadi serta usaha bagi memajukan industri seramik di Malaysia. Ia lebih kepada penghasilan bahan semulajadi yang telah mengalami proses penghasilan sehingga mengeluarkan warna licau yang baru. Kajian awal menggunakan sampel dari agen warna seperti batu Sungai Moyog, batu Lombong Mamut, dan batu Kompleks Sukan Ranau telah dijalankan secara eksperimen. Penyelidikan tersebut merangkumi penyediaan dan formulasi licau dengan menggunakan bahan tersebut sehingga ia berjaya mengeluarkan pigmen warna mengikut tindak balas suhu dan jenis pembakaran yang telah dilaksanakan. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengkaji kesesuaian warna licau pada permukaan produk seramik seperti kaolin. Kesimpulannya, melalui kajian yang dilakukan kita akan lebih memahami tentang proses-proses serta cara bagaimana untuk menghasilkan warna licau dalam industri seramik dengan menggunakan bahan semulajadi yang terdapat di persekitaran. Melalui kajian ini juga, ia dapat mengenalpasti bahan mineral yang terdapat dalam bahan ujikaji yang mempengaruhi tindakbalas dalam penghasilan warna licau seramik.