BUKU DIGITAL INTERAKTIF KANAK-KANAK DI MALAYSIA: PLATFORM UNTUK PENERBIT MENGUPAYAKAN PEMBANGUNAN KANDUNGAN KREATIF NEGARA
Abstract
Penerbitan buku digital interaktif kanak-kanak oleh penerbit tempatan sudah bermula sejak awal tahun 2000-an, terutama dalam bentuk CD-ROM dan secara dalam talian. Kini, dalam era teknologi digital yang kian berkembang, lebih banyak platform atau format boleh diterokai dan digunakan oleh penerbit untuk mempelbagaikan produk penerbitan mereka, termasuk dalam bentuk digital. Tambahan pula, pelbagai polisi atau dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggalakkan pembangunan industri kreatif seperti Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Walaupun pada masa kini bilangan penerbit yang menerbitkan buku digital atau buku elektronik sudah bertambah berbanding pada awal pengenalannya, penerbitan buku digital interaktif kanak-kanak dalam kalangan penerbit di Malaysia masih rendah. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk meneliti status penerbitan buku digital interaktif kanak-kanak di Malaysia melalui jumlah penerbitan dan jumlah penerbit yang terlibat dalam penerbitannya. Kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis format buku digital interaktif kanak-kanak yang digunakan oleh penerbit di Malaysia. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis maklumat menerusi portal eSentral, laman web Google Play, laman web penerbit dan laman web perpustakaan. Beberapa judul buku digital interaktif kanak-kanak turut dianalisis dari sudut kandungannya bagi meneliti kandungan multimedia dan unsur interaktiviti yang digunakan. Hasil kajian ini mendapati penerbit di Malaysia berupaya menampilkan daya kreativiti untuk menerbitkan buku digital interaktif kanak-kanak berdasarkan kepelbagaian penggunaan kandungan multimedia dan unsur interaktiviti yang dimuatkan dalam buku digital interaktif yang diterbitkan. Walau bagaimanapun, jumlah penerbitan buku digital interaktif yang dibangunkan oleh penerbit tempatan begitu sedikit jumlahnya dan keadaan ini memperlihatkan bahawa penerbit tempatan masih belum bersedia untuk menjadikan platform buku digital interaktif sebagai usaha untuk mengupayakan pembangunan kandungan kreatif negara.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Rosmani Omar, & Siti Ezaleila Mustafa. (2024). BUKU DIGITAL INTERAKTIF KANAK-KANAK DI MALAYSIA: PLATFORM UNTUK PENERBIT MENGUPAYAKAN PEMBANGUNAN KANDUNGAN KREATIF NEGARA. INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 2(6). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/2805
Issue
Section
Articles