PELUASAN MAKNA KATA DEDAK: SATU ANALISIS SEMANTIK KOGNITIF
Abstract
Hakikat bahawa sesuatu bahasa itu bersifat dinamik telah lama diakui dan fenomena itu dapat dilihat dengan jelas pada alaf ke-3 ini. Pengguna bahasa secara sedar atau tidak sedar telahpun memperlihatkan kekreatifan mereka mencipta kosa kata atau istilah baharu dan pada masa yang sama juga cenderung memperluas makna sesuatu kata atau istilah, bermula dengan pemahaman dalam lingkungan yang kecil kemudiannya menular ke garis sempadan yang lebih besar. Persoalan itu dirancakkan lagi oleh kewujudan media baharu yang kian mendominasi kehidupan masyarakat. Selaras dengan matlamat perancangan korpus yang merangkumi usaha menganalisis peluasan makna sesuatu kata yang cenderung untuk berkembang dalam susun lapis masyarakat masa kini, maka kajian ini bertujuan meneliti peluasan makna kata dedak yang digunakan dalam pelbagai keadaan sehingga menyerlahkan makna yang baharu, yang berpotensi didokumentasikan dalam kamus umum seperti Kamus Dewan. Melalui kaedah linguistik korpus, kerja menganalisis dijalankan dengan menggunakan 477 kata dedak yang diperoleh daripada pangkalan data webcorp (suatu lingkungan carian Malaysia iaitu carian .my), dan 115,530 kata dedak daripada pangkalan data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka yang melibatkan subkorpus akhbar, buku, majalah, buletin, teks sastera, teks ucapan dan kertas kerja. Berasaskan pemerhatian yang rinci, didapati bahawa terdapat tiga makna dedak iaitu satu makna teras – kulit padi yang menjadi serbuk apabila ditumbuk, serta dua makna pinggiran iaitu pertama, bersesak-sesak, berapat-rapat iaitu berkaitan perahu dan lain-lain; dan kedua, menaruh perasaan dendam atau sakit hati iaitu berdendam (Kamus Dewan edisi keempat, 2010). Biarpun begitu, pada waktu yang mutakhir ini didapati bahawa kata dedak mengalami peluasan makna yang amat jauh tersimpang daripada maksudnya yang asal, iaitu pertama, upah; kedua, wang; dan ketiga, rasuah. Dipercayai bahawa menerusi kajian ini juga, makna kata dedak yang berasaskan penggunaan semasa dalam kalangan masyarakat dapat difahami dengan lebih jelas dan lebih rinci mengikut sesuatu situasi sesuai dengan konteksnya.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Alias Ismail. (2024). PELUASAN MAKNA KATA DEDAK: SATU ANALISIS SEMANTIK KOGNITIF. INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 3(10). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/2847
Issue
Section
Articles