BAHASA ORANG ASLI JAHUT: PENELITIAN ASPEK FONOLOGI DAN LEKSIKAL

Authors

  • Nur Faaizah Binti Md Adam Universiti Putra Malaysia.
  • Mohd Sharifudin Yusop Universiti Putra Malaysia.
  • Riduan Makhtar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Abstract

Suku kaum Jahut tergolong dalam suku masyarakat orang Asli Senoi. Kelompok Senoi merupakan kelompok orang Asli yang terbesar, diikuti oleh kelompok Melayu-Proto dan kelompok Negrito. Sejumlah 4 717 orang terdapat di Pahang, khususnya di daerah Temerloh. Sebilangan kecil terdapat di Perak dan Selangor. Manakala, bilangan penduduk suku kaum Jahut di Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang yang diperolehi daripada Data Profil Perkampungan Orang Asli Pahang-Daerah Temerloh 2009/2010 ialah seramai 702 orang. Kajian ini dilakukan kerana bilangan penutur Jahut yang kecil menimbulkan kebimbangan daripada sudut bahasa memandangkan wujudnya proses dominasi bahasa utama, khususnya bahasa Melayu. Jika usaha pendokumentasian tidak dilakukan dengan segera berkemungkinan bahasa ini akan pupus seterusnya memusnahkankan budaya masyarakat Jahut. Kajian ini memberi tumpuan terhadap aspek bahasa Jahut yang dituturkan di Kampung Pian, Kuala Krau Pahang. Informan terdiri daripada penutur natif suku kaum masing-masing. Fokus utama makalah ini ialah menghuraikan aspek fonologi dan leksikal bahasa suku kaum Jahut berdasarkan pendekatan linguistik struktural. Pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif untuk menganalisis data yang diperoleh melalui teknik rakaman dan teknik lafaz. Pentranskripsan akan dilakukan berdasarkan Symbol International Phonetic Alphabet (IPA) bersumberkan data kosa kata bahasa Jahut berdasarkan senarai Swadesh dan kelas kata bertema. Berdasarkan data-data senarai Swadesh dan kelas kata bertema, pengkaji mendapati bahasa Jahut mempunyai 8 fonem vokal dan 20 fonem konsonan. Daripada kosa kata bertema pula pengkaji menemui perbezaan dan persamaan daripada leksikal dan bunyi bahasa Jahut dengan bahasa Melayu. Dalam kosa kata bertema anggota badan khususnya banyak mengekalkan bahasa Jahut sendiri Walau bagaimanapun, terdapat kosa kata yang telah dipengaruhi oleh bahasa Melayu. Kajian terhadap bahasa orang Asli suku kaum Jahut yang meliputi aspek fonologi dan leksikal ini perlu dilakukan agar struktur bahasa tersebut dapat dikaji dengan lebih terperinci dan secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan bahasa tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2024-09-24

How to Cite

Nur Faaizah Binti Md Adam, Mohd Sharifudin Yusop, & Riduan Makhtar. (2024). BAHASA ORANG ASLI JAHUT: PENELITIAN ASPEK FONOLOGI DAN LEKSIKAL. INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 3(11). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/2855