GENDER DAN TRANSMISI BAHASA ANTARA GENERASI DALAM KALANGAN PELAJAR ETNIK BISAYA DI BEAUFORT, SABAH

Authors

  • Md. Roslan Suhailin Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia, Malaysia
  • Arba’ie Sujud Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia, Malaysia

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menentukan penggunaan bahasa dalam domain kekeluargaan dan transmisi bahasa antara generasi dalam kalangan pelajar etnik Bisaya berdasarkan gender. Penyelidik telah memilih 205 peserta kajian tingkatan 4, 5 dan 6 dari 3 sekolah menengah di daerah Beaufort, Sabah, iaitu 115 perempuan dan 90 lelaki. Kajian tinjauan lapangan dilaksanakan dengan menggunakan 2 jenis soal selidik yang diadaptasi daripada Drummond (2010) dan Fishman (1991). Data kajian dianalisis dengan menggunakan peratus, min, skala berperingkat dan statistik khi-kuasa dua. Hasil kajian tentang pilihan bahasa dalam domain kekeluargaan kedua-dua kumpulan pelajar adalah pada kadar 25% bahasa Bisaya, bahasa Melayu 75%. Min pilihan bahasa dalam domain kekeluargaan bagi kumpulan perempuan sebanyak 20.01 adalah lebih tinggi daripada min kumpulan lelaki, 19.98. Tahap transmisi bahasa antara generasi ibu bapa dan anak-anak yang dipilih oleh kedua-dua kumpulan pelajar ialah Gred 3, Terancam. Sebanyak 51.06% kumpulan lelaki dan 60.9% kumpulan perempuan telah memilih skala ini. Gred 3, Terancam ditafsirkan sebagai bahasa Bisaya digunakan oleh kebanyakan generasi ibu bapa dan ke atas. Ibu bapa masih boleh bercakap bahasa itu kepada anak-anak mereka tetapi anak-anak mereka biasanya tidak menjawab dalam bahasa Bisaya. Penyelidik menerima hipotesis nol bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam transmisi bahasa antara generasi berdasarkan gender. Faktor transmisi bahasa antara generasi merupakan penyebab utama bahasa terancam. Faktor ini telah diasaskan oleh Fishman (1991) yang diakui sebagai standard emas daya hidup bahasa oleh kumpulan pakar bahasa UNESCO.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2024-09-24

How to Cite

Md. Roslan Suhailin, & Arba’ie Sujud. (2024). GENDER DAN TRANSMISI BAHASA ANTARA GENERASI DALAM KALANGAN PELAJAR ETNIK BISAYA DI BEAUFORT, SABAH . INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 5(35). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/3166