KOMPETENSI DAN STRATEGI PENGAJARAN KONTEKSTUAL TERHADAP PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEBOLEHDAPATAN KERJA DALAM KALANGAN MAHASISWA
Abstract
Pengajaran dan pembelajaran pada masa kini perlu dibuat penambahbaikan mengikut arus perubahan zaman dan permintaan masyarakat. Permintaan majikan terhadap mahasiswa yang sedang melalui fasa revolusi 4.0 bukan sekadar kecemerlangan akademik tetapi turut melihat aspek-aspek kemahiran yang ada dan boleh diaplikasi ketika bekerja. Senario pengangguran dalam kalangan mahasiswa boleh diumpamakan sebagai cabaran besar buat mereka dan tidak terbatas kepada bidang pengajian tertentu. Pendidik atau pensyarah bertindak untuk membantu pelajar menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka sebagai proses pembelajaran dan ini secara tidak langsung dapat membina kemahiran dalam diri pelajar. Walau bagaimanapun, kajian lepas mendapati pelaksanaan pembelajaran dalam membentuk kemahiran kebolehdapatan kerja dalam kalangan mahasiswa pada masa kini ternyata menyumbang pelbagai bentuk cabaran kepada pensyarah. Melalui kajian ini, pengkaji melihat bagaimana konsep pembelajaran berpusatkan pelajar dan strategi pengajaran kontekstual boleh dijadikan medium pengajaran berkesan dalam membina kemahiran kebolehdapatan kerja dalam kalangan mahasiswa. Kajian telah dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kualitatif, secara temu bual semi berstruktur bersama 12 orang mahasiswa peringkat pengajian Ijazah dari bidang pengajian berbeza seperti bidang perubatan, pengurusan perniagaan dan kaunseling. Dapatan kajian mendapati manfaat pembelajaran berpusatkan pelajar terhadap pembentukan personaliti pelajar seperti pembinaan keyakinan diri, sikap kepimpinan, berfikiran kritis dan kreatif. Walaupun mereka berjaya mengaplikasikan pembelajaran berpusatkan pelajar, namun terdapat sesetengah mahasiswa terpaksa berhadapan dengan beberapa bentuk cabaran. Dua bentuk cabaran yang dominan muncul semasa temu bual dijalankan adalah yang pertama, untuk bekerja dalam kumpulan yang terdiri daripada rakan-rakan yang mempunyai sikap pasif, tidak kreatif dan kebergantungan yang tinggi pada orang lain. Kedua, cabaran dalam mengaplikasi kerja berkumpulan dengan efektif dan berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan. Dapatan kajian menunjukkan persediaan para pensyarah dengan menggunakan teknik tertentu seperti pengajaran kontekstual sangat penting untuk membentuk kemahiran kebolehdapatan kerja dalam kalangan generasi baharu yang sentiasa bersaing dalam kerjaya.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
`Adlina Abdul Khalil, Mohd. Kasri Saidon, & Mohamad Khairi Othman. (2024). KOMPETENSI DAN STRATEGI PENGAJARAN KONTEKSTUAL TERHADAP PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEBOLEHDAPATAN KERJA DALAM KALANGAN MAHASISWA. INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 6(40). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/3288
Issue
Section
Articles