FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KECENDERUNGAN PEMILIHAN KERJAYA KEUSAHAWANAN DIGITAL DALAM KALANGAN PELAJAR PENDIDIKAN TAHUN AKHIR
Abstract
Pemilihan kerjaya keusahawanan digital semakin menjadi pilihan dalam kalangan pelajar tahun akhir di universiti termasuk pelajar dalam aliran pendidikan. Kajian ini bertujuan untuk menilai kewujudan pengaruh faktor literasi media sosial dan motivasi (sikap terhadap keusahawanan digital, kawalan tingkah laku dan norma subjektif) terhadap kecenderungan pemilihan kerjaya keusahawanan digital semasa pandemik COVID-19 dalam kalangan pelajar tahun akhir pendidikan. Kajian ini juga dilakukan untuk mengenal pasti tahap kecenderungan pemilihan kerjaya keusahawanan digital dan menentukan faktor dominan terhadap kecenderungan tersebut semasa pandemik COVID-19. Seramai 113 orang pelajar daripada 158 orang pelajar pendidikan tahun akhir dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Kaedah pensampelan rawak bestrata berkadaran digunakan dalam kajian ini untuk memastikan nisbah peratusan sampel selari dengan nisbah peratusan subpopulasi. Kajian ini menggunakan analisis regresi berganda untuk menilai pengaruh yang wujud antara pemboleh ubah bersandar dengan pemboleh ubah tidak bersandar dalam kajian ini. Analisis deskriptif yang melibatkan nilai min dan sisihan piawai turut digunakan untuk menjawab persoalan kajian yang berkaitan dengan tahap dan faktor dominan. Hasil analisis kajian mendapati hanya faktor motivasi sahaja yang mempengaruhi kecenderungan pemilihan kerjaya keusahawanan digital semasa pandemik COVID-19 apabila menunjukkan pengaruh positif yang signifikan. Dapatan kajian ini juga menunjukkan tahap kecenderungan pemilihan kerjaya keusahawanan digital dalam kalangan pelajar berada pada tahap sederhana tinggi dan faktor paling dominan yang mempengaruhi kecenderungan pemilihan kerjaya ini adalah faktor motivasi (norma subjektif). Kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan dalam merangka dan melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya dalam usaha menggalakkan bakal-bakal graduan menceburi kerjaya keusahawanan digital.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Suzyanty Mohd Shokory, Nur Shahirah Hashim, Zuraidah Zainol, & Rusliza Yahaya. (2024). FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KECENDERUNGAN PEMILIHAN KERJAYA KEUSAHAWANAN DIGITAL DALAM KALANGAN PELAJAR PENDIDIKAN TAHUN AKHIR . INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 8(51). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/3692
Issue
Section
Articles