BUDAYA POLITIK MATANG SEJAHTERA: SUATU ANALISIS
Abstract
Politik merupakan suatu keperluan penting dalam kehidupan manusia. Ia berperanan sebagai platform yang mengatur dan menguruskan kehidupan manusia secara sistematik. Manusia tidak boleh hidup dengan baik tanpa sistem politik yang tersusun. Ironinya, politik sering dimomokkan sebagai perkara yang kotor, penuh helah dan menyeleweng khususnya apabila melibatkan politik kepartian. Semakin lama pemikiran ini menjadi doktrin dan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan perbincangan mengenainya sering menjadi suatu perkara yang sensitif dan penuh sentimen. Permasalahannya, doktrin ini bertambah buruk dengan sikap dan pembawaan aktivis politik yang berlebih-lebihan dalam menyokong satu-satu parti atau diistilahkan sebagai ‘taksub kepartian’ sehingga membudayakan makian, kejian bahkan hingga mencederakan fizikal parti lawan demi mendapatkan kuasa. Apa yang lebih membimbangkan, persaingan yang sangat tidak sihat ini telah menormalisasikan budaya memfitnah dan bersangka-sangka terhadap parti lawan sedangkan ia merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT. Natijahnya akan membawa kepada pergaduhan dan permusuhan yang berpanjangan serta menggugat kesatuan. Justeru, budaya berpolitik khususnya dalam kalangan penganut agama Islam merentas pelbagai parti di negara ini amat wajar dititikberatkan supaya tidak menjadi fitnah kepada kemurnian agama itu sendiri. Kajian ini akan memfokuskan kepada sejauhmana gagasan budaya politik matang sejahtera (BPMS) mampu menjadi alternatif kepada perubahan budaya berpolitik dalam kalangan rakyat Malaysia. Kajian ini menggunakan metod kualitatif yang terdiri daripada analisis buku dan beberapa artikel berkaitan serta temubual pihak yang berautoriti khususnya dalam kalangan pengasas kepada gagasan BPMS ini sendiri. Menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya menghindarkan politik permusuhan , maka artikel ini mencadangkan supaya gagasan BPMS ini diketengahkan dan dikaji secara ilmiah sebagai usaha mengatasi budaya ‘taksub kepartian’ dan politik tidak berakhlak dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk para pemimpin politik. Dapatan kajian ini diharap mampu menyelesaikan konflik berkaitan budaya berpolitik rakyat Malaysia yang banyak berunsurkan sentimen berbanding rasional dan fakta. Hal demikian amat penting untuk diatasi memandangkan budaya tersebut menggalakkan kepada permusuhan dan perpecahan. Hakikatnya perpecahan akan hanya melemahkan kesatuan dan menyumbang kepada ketidakstabilan negara.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Nor Saadah Musa, & Mohd Kamel Mat Salleh. (2024). BUDAYA POLITIK MATANG SEJAHTERA: SUATU ANALISIS. INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATION, PSYCHOLOGY AND COUNSELLING (IJEPC), 9(53). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijepc/article/view/3781
Issue
Section
Articles