MENEROKA STRATEGI MENGATASI (YANG TERCAPAI) DALAM FENOMENA REVOLUSI INDUSTRI MUZIK MELAYU TEMPATAN DI LAMAN MEDIA SOSIAL: KAEDAH CONSTRUCTIVIST GROUNDED THEORY
Keywords:
Media Sosial, Industri Muzik Melayu, Constructivist Grounded Theory, Produksi Muzik, Pemasaran Digital, Kesan Strategi MengatasiAbstract
Sejak kebelakangan ini, pengaruh dari laman rangkaian media sosial dilihat memainkan peranan yang penting dalam industri muzik Melayu tempatan. Platform media sosial bukan sahaja dilihat mampu memberi impak positif namun turut memberikan impak negatif kepada pengeluaran kandungan muzik dari segmen pengedaran dan kepenggunaan. Objektif utama kajian ini adalah membina model paradigma bagi fenomena laman rangkaian media sosial untuk artis muzik Melayu tempatan, berdasarkan pengalaman komprehensif mereka yang terlibat dan terpilih dalam industri muzik Malaysia dan penglibatan di laman rangkaian media sosial. Namun begitu kajian ini akan mefokuskan kesan daripada strategi mengatasi yang tercapai dalam fenomena revolusi industri muzik melayu tempatan di laman media sosial. Melalui pendekatan Constructivist Grounded Theory, penelitian telah dapat mengumpulkan data dari kaedah temubual mendalam dengan pelaku industri muzik, termasuk artis, penerbit, dan komposer, penulis lirik, pensyarah muzik, pensyarah media, juruhebah, wartawan, penggiat seni serta analisis kandungan dari platform media sosial yang relevan. Hasil kajian juga telah menemui beberapa kesan daripada strategi mengatasi yang tercapai iaitu (1) Pengikut dan penonton yang meningkat; (2) Status Kejayaan Industri Muzik; (3) dan Impak Apresiasi Industri. Kajian ini menawarkan wawasan baharu tentang kelangsungan industri muzik Melayu dalam era digital terutamanya di laman media sosial, menyoroti bagaimana adaptasi terhadap media sosial yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan keberhasilan dan keberlangsungan dalam industri muzik Melayu tempatan. Penyelidikan ini dilihat dapat memberi sumbangan penting kepada pemahaman kita tentang transformasi industri muzik Melayu dalam era digital, menonjolkan kerumitan dan dinamik penyesuaian budaya, ekonomi dan teknologi hasil daripada kewujudan tema baharu yang muncul.