PENULARAN WABAK PENYAKIT KOLERA KEPADA MASYARAKAT HILIR PERAK PADA ERA KOLONIAL BRITISH 1874-1957
Keywords:
Wabak, Masyarakat, Pembangunan, Hilir Perak, Kolonial BritishAbstract
Kajian ini berkenaan dengan wabak penyakit yang menular telah menimbulkan implikasi kepada masyarakat melibatkan kesan kepada sosial, ekonomi dan politik. Kolera merupakan salah satu penyakit yang dikesan merebak di kawasan Hilir Perak. Pembangunan yang pesat disebabkan oleh kepelbagaian kegiatan ekonomi membawa kepada kemasukan imigran yang menjadi salah satu faktor utama bawaan wabak penyakit. Oleh itu, kajian ini sepenuhnya dijalankan menggunakan kaedah kualitatif melibatkan analisis dokumen serta manuskrip berkaitan wabak penyakit kolera menggunakan dokumen primer seperti fail Perak Annual Report, Straits Settlement Report, Medical Federated Malay States Report yang diperolehi dari Arkib Negara Malaysia. Pemerhatian kritikal dan analisis rekod atau dokumen yang digunakan adalah sangat penting untuk mendapatkan data yang tepat. Dapatan kajian memperlihatkan penyakit kolera mula dikesan pada tahun 1800 an lagi di daerah Hilir Perak berikutan bawaan wabak daripada salah seorang imigran luar yang menjadi tenaga buruh bagi keperluan sektor pekerjaan. Wabak kolera ataupun taun merupakan salah satu penyakit bawaan yang berpunca daripada keadaan kebersihan diri dan sekitar yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Keperluan kemajuan perkhidmatan perubatan bagi menangani wabak penyakit berjangkit dan suntikan vaksin mula dilihat relevan bagi menghadkan kemasukan imigran berlaku secara sekali gus ke penempatan Hilir Perak. Secara keseluruhan, hasil kajian menunjukkan penularan wabak kolera mencetuskan pelbagai implikasi kepada masyarakat melibatkan sektor pekerjaan, peluasan sumber ekonomi di daerah Hilir Perak tetapi turut merangsang kepada kemajuan perkhidmatan perubatan moden di Hilir Perak.