NILAI PENDIDIKAN DALAM BAHAN PENGAJARAN MULTIMEDIA KARTUN ANIMASI UPIN DAN IPIN UNTUK MURID SEKOLAH RENDAH
Keywords:
Animasi, Multimedia, Upin dan Ipin, Sekolah Rendah, KonstruktivismeAbstract
Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti unsur pendidikan ataupun nilai yang terdapat dalam bahan multimedia kartun animasi Upin dan Ipin. Ia dilihat mampu memberi nilai yang baik dan mampu memberi kesan yang besar dalam pendidikan murid sekolah rendah. Pendekatan pengajaran berasaskan multimedia mampu memindahkan sesuatu maklumat daripada buku teks yang statik kepada suatu corak pembelajaran yang menarik. Di sini animasi memainkan peranan penting bagi menceriakan lagi persembahan sesebuah informasi. Perkara ini penting untuk memastikan murid dapat menumpukan perhatian dan tidak merasa jemu ketika proses pengajaran dan pembelajaran serta mendapat ilmu yang berterusan. Makalah ini akan memanfaatkan teori Konstruktivisme. Menurut Post & Weingartner (1969) konstruktivisme ialah satu pengetahuan baru tentang ilmu pengetahuan dan cara bagaimana manusia memperoleh ilmu pengetahuan. Pandangan baru ini menganggap pelajar bukan hanya menerima pengetahuan secara pasif daripada gurunya tetapi membina pengetahuannya melalui interaksi dengan persekitarannya. Pembelajaran secara konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Nilai pendidikan yang difokuskan dalam bahan multimedia kartun animasi Upin dan Ipin adalah nilai murni dan ia dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. (1988) mentakrifkan nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Justeru, pendidikan yang kaya dengan nilai-nilai murni khususnya dalam bahan pengajaran terpilih perlu dititikberatkan agar dapat membina modal insan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.