INTERPRETASI VISUAL RHETORIC-SEMIOTIC DALAM IKLAN KHIDMAT AWAM ALAM SEKITAR DI MALAYSIA
Keywords:
Visual Rhetoric, Semiotik, Simbol, PSA, Alam SekitarAbstract
Kajian ini bertujuan meneroka dan mengkaji visual rhetoric-semiotic dan juga interpretasi simbol yang digunakan didalam iklan khidmat awam (PSA- Public Service Announcement) alam sekitar di Malaysia. Isu alam sekitar telah lama dibangkitkan tetapi masyarakat masih kurang kesedaran sehingga kini dan umum tidak menyedari mengenai keterbatasan dana dalam setiap kempen pengiklanan (PSA) ini. Limitasi dana ini menjadikan kekerapan kempen iklan ini tidak dapat dilakukan seperti mana iklan kempen produk atau servis yang biasa. Pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes dan analisis pengkaryaan telah digunakan dalam kajian ini melibatkan tiga iklan khidmat awam alam sekitar. Selain itu temubual telah dijalankan ke atas audien yang mana pemilihan partisipan secara persampelan bertujuan dan melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), ahli akademik, pereka grafik juga audien awam. Ini bertujuan untuk melihat interpretasi mereka yang terlibat sebagai data yang mengukuhkan hasil kajian ini. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif yang terbahagi kepada tiga peringkat iaitu deskriptif, interpretasi dan penilaian. Hasil dapatan kajian secara keseluruhan dapat dirumuskan visual rhetoric yang digunakan dalam iklan khidmat awam alam sekitar ini merupakan aspek yang penting dalam menyampaikan mesej, menggunakan imej-imej sebagai simbol tertentu dan mempunyai makna disebaliknya. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan penggunaan visual rhetoric adalah menarik untuk digunakan sebagai simbol dan menterjemahkan makna dalam menyampaikan mesej.