PEMBANGUNAN BANDAR TELUK ANSON KETIKA PENTADBIRAN KOLONIAL BRITISH, 1874-1957
Keywords:
Bandar, Pelabuhan, Pertanian, Kereta Ai, Teluk Anson, Kolonial BritishAbstract
Kajian ini adalah berkenaan kemunculan serta perkembangan bandar Teluk Anson atau kini dikenali dengan nama Teluk Intan yang terletak di daerah Hilir Perak bermula tahun 1874 sehingga 1957 semasa pentadbiran kolonial British. Pembangunan bandar bertambah pesat semasa pentadbiran British kerana kegiatan ekonomi dan politik penjajah. Hal ini menyebabkan beberapa kawasan tumpuan kegiatan ekonomi di Perak telah muncul dan berkembang kepada sebuah bandar di samping mewujudkan konsep bandar yang berorientasikan negara barat. Dalam aspek pembangunan, ia telah memberi impak positif terhadap kemajuan bandar dan kepentingn sosioekonomi masyarakat di Teluk Anson. Oleh itu, kajian ini sepenuhnya dijalankan dengan menggunakan kaedah kualitatif melalui pendekatan analisis dokumen seperti fail Perak Secretariat serta Perak Annual Report yang diperolehi dari Arkib Negara Malaysia. Penggunaan sumber sekunder seperti buku dan penulisan kajian berkenaan ekonomi dan sejarah perbandaran ketika era kolonial British turut digunakan bagi mengukuhkan lagi hasil kajian. Dapatan kajian menunjukkan terdapat beberapa kegiatan ekonomi telah mendorong kepada pembangunan dan perubahan landskap bandar Teluk Anson seperti kegiatan perdagangan di pelabuhan serta pertanian komersial. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan jaringan perhubungan bandar Teluk Anson. Secara keseluruhan, polisi pentadbiran British di negeri Perak telah mendorong kemunculan serta pembangunan bandar Teluk Anson dan hal ini adalah didorong oleh kegiatan perdagangan di pelabuhan serta pertanian komersial yang telah diusahakan. Oleh itu, bandar Teluk Anson merupakan antara bandar utama yang menjadi tumpuan kegiatan perdagangan ketika era pentadbiran kolonial British.