PEMBELAJARAN DARAH WANITA DALAM MATA PELAJARAN SAINS KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH (KSSM): SATU ANALISIS PERBANDINGAN ANTARA PERSPEKTIF FIQH DAN SAINS
Abstract
Pendidikan darah wanita merupakan satu korpus ilmu yang wajib dipelajari oleh lelaki dan wanita muslim yang mencakupi ilmu haid, nifas dan istihadah serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Ini kerana, ilmu darah wanita merupakan salah satu sub perbincangan di bawah bab ibadat yang melibatkan hukum-hakam dalam rukun Islam seperti solat, puasa, dan haji. Di peringkat sekolah menengah, topik ini diperkenalkan kepada para pelajar Tingkatan 1 yang berumur 13 tahun menerusi mata pelajaran sains Tingkatan 1 yang mana terdapat satu sub topik khusus tentang kitaran haid. Namun begitu, analisis kandungan mendapati terdapat perbezaan yang signifikan dari aspek kandungan pembelajaran kitaran haid yang dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran sains Tingkatan 1 dengan perbincangan kitaran haid berdasarkan perspektif fiqh sehingga memberi implikasi dari aspek penentuan hukum. Justeru artikel ini bertujuan untuk mengenalpasti perbincangan darah haid yang ditulis dalam DSKP matapelajaran Sains KSSM Tingkatan 1 di Malaysia dengan perbincangan haid menurut perspektif fiqh agar dapat memberi kefahaman yang tepat kepada pelajar bagi mengelakkan wujudnya salah faham dalam menentukan status darah haid dan istihadah dalam pembelajaran mereka yang akan datang. Kajian ini menggunakan kaedah analisis beberapa dokumen berkaitan disiplin sains dan fiqh dengan menggunakan metod komparatif. Dokumen yang dianalisis terdiri daripada DSKP mata pelajaran Sains Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di Malaysia, buku teks Sains Tingkatan 1 KSSM di Malaysia, kitab turath fiqh mazhab Syafi’i, artikel-artikel dan kajian ilmiah. Hasil analisis mendapati bahawa, terdapat tiga perbezaan input tentang darah haid yang diletakkan dalam buku teks mata pelajaran Sains Tingkatan 1 dengan perbincangan haid menurut perspektif fiqh iaitu dari aspek; umur akil baligh, umur putus haid dan kitaran haid. Perbezaan input kandungan pembelajaran haid yang ada menjadi justifikasi keperluan adanya kefahaman dan pengertian yang jelas mengenai perkara ini secara khusus dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di bawah sub topik ibadat. Justeru, kerjasama daripada semua pihak yang terdiri daripada guru, pihak pentadbiran serta kerajaan adalah sangat penting agar ilmu darah wanita dapat dipelajari oleh semua murid di sekolah sekaligus membantu mereka untuk beribadah dengan lebih yakin.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
24-09-2024
How to Cite
Tengku Sarina Aini Tengku Kasim, Siti Falihah Yaakob, & Nor Fahimah Mohd Razif. (2024). PEMBELAJARAN DARAH WANITA DALAM MATA PELAJARAN SAINS KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH (KSSM): SATU ANALISIS PERBANDINGAN ANTARA PERSPEKTIF FIQH DAN SAINS. INTERNATIONAL JOURNAL OF MODERN EDUCATION (IJMOE), 5(17). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijmoe/article/view/1809
Issue
Section
Articles