KEPERLUAN KEMAHIRAN INSANIAH ABAD KE-21 TERHADAP KESEDIAAN KERJAYA PELAJAR
Abstract
Matlamat utama Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (Technical Vocational Education and Training, TVET) adalah melahirkan modal insan yang cekap dan berkemahiran serta dapat memenuhi kehendak pasaran semasa. Melihat kepada situasi pekerjaan pada masa kini yang terarah kepada pendigitalan dan penguasaan teknologi, institusi TVET berdepan dengan cabaran dalam memastikan pelajar memiliki kesediaan terhadap cabaran kerja di masa hadapan. Hal ini kerana pihak industri memerlukan individu yang memiliki kesediaan terhadap kerjaya dalam memastikan skop kerja dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. Antara faktor yang menyumbang kepada kurang kesediaan kerjaya dalam kalangan pelajar adalah penguasaan kemahiran insaniah masih di tahap yang sederhana. Aspek kemahiran insaniah yang dimiliki oleh seseorang individu merupakan antara kriteria yang dilihat oleh majikan dalam memastikan mereka mempunyai kesediaan terhadap kerjaya. Penguasaan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar perlu seiring dengan keperluan dalam konteks kerjaya pada abad ke-21 selain dapat memastikan pelajar memiliki kesediaan terhadap kerjaya yang selari dengan bidang pengajian mereka. Justeru, kertas konsep ini membincangkan berkaitan kesediaan kerjaya pelajar dari aspek kemahiran insaniah yang diperlukan pada abad ke-21 supaya dapat memenuhi kehendak semasa majikan sekali gus melahirkan modal insan yang reaktif terhadap keperluan pekerjaan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan yang melibatkan responden dalam kalangan pelajar di Kolej Vokasional. Antara elemen kemahiran insaniah pada abad ke-21 yang diperlukan majikan adalah kemahiran fleksibiliti dan kebolehsuaian, kemahiran inisiatif dan kendiri, kemahiran sosial dan silang budaya, kemahiran produktiviti dan akauntabiliti serta kemahiran kepimpinan dan pertanggungjawaban.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
24-09-2024
How to Cite
Siti Aisyah Mohd Nong, & Siti Zuraidah Md Osman. (2024). KEPERLUAN KEMAHIRAN INSANIAH ABAD KE-21 TERHADAP KESEDIAAN KERJAYA PELAJAR. INTERNATIONAL JOURNAL OF MODERN EDUCATION (IJMOE), 6(20). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijmoe/article/view/1891
Issue
Section
Articles