KORELASI ANTARA KECERDASAN SPASIAL DAN PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR PINTAR DAN BERBAKAT: SATU KAJIAN DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Authors

  • Nurul Suzaina Joli Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Norshahirah Mohamed Paid Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Noorsyakina Simin Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Fairuz Adlidna Badrol Hissam Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia

Keywords:

Kecerdasan Spasial, Pencapaian Matematik, Pelajar Pintar Dan Berbakat

Abstract

Kecerdasan spasial merupakan keupayaan untuk berfikir dan mentafsir secara visual dan ia membantu pelajar dalam menyelesaikan masalah matematik serta memahami konsep matematik dengan baik. Kecerdasan spasial yang tinggi dilihat mempunyai kaitan dengan pencapaian yang baik dalam subjek Matematik. Kajian lepas hanya melihat kepada hubungan di antara kecerdasan spasial dengan pencapaian Matematik secara umum dan hanya dijalankan ke atas kumpulan pelajar tertentu. Oleh yang demikian, tujuan kajian ini adalah untuk mengukur korelasi yang wujud di antara kecerdasan spasial dengan pencapaian Matematik khususnya dalam kalangan pelajar pintar dan berbakat (PPB) di Malaysia. Oleh yang demikian, tujuan kajian ini adalah untuk mengukur korelasi di antara kecerdasan spasial dengan pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar pintar dan berbakat di Malaysia.  Kajian ini melibatkan seramai 126 pelajar pintar dan berbakat yang berumur 12 dan 13 tahun dengan menggunakan kaedah kuantitatif dengan teknik persampelan kebarangkalian secara rawak. Kajian ini menggunakan instrumen Spatial Reasoning Instrument (SRI) yang digunakan untuk mengukur tiga konstruk utama kecerdasan  spasial iaitu kemampuan rotasi, kemampuan orientasi spasial dan kemampuan visual ruang. Instrumen ini mempunyai 30 soalan objektif yang merangkumi 10 soalan bagi setiap konstruk. Pencapaian Matematik pelajar pula diukur dengan menggunakan markah ujian Matematik yang diambil secara purata bagi dua peperiksaan utama sepanjang tahun. Kajian ini menggunakan statistik deskriptif dan korelasi dalam menganalisis dan mentafsir data yang dikumpulkan menggunakan perisian SPSS. Hasil kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi yang positif di antara kecerdasan spasial  dengan pencapaian Matematik (r = 0.496). Ini bermaksud semakin tinggi kecerdasan spasial semakin tinggi pencapaian Matematik yang akan diperoleh oleh pelajar. Ujian ANOVA menunjukkan tiada  perbezaan yang signifikan di antara pelajar perempuan dan pelajar lelaki bagi konstruk kemampuan rotasi tetapi terdapat perbezaan yang signifikan bagi konstruk kemampuan orientasi spasial dan konstruk kemampuan visual ruang. Ini bermaksud kemampuan rotasi bagi pelajar perempuan dan lelaki adalah sama tetapi  kemampuan orientasi spasial (M = 7.8) dan kemampuan visual ruang (M = 5.7) pelajar lelaki lebih baik daripada pelajar perempuan. Dapatan kajian juga mendapati pelajar lelaki menunjukkan tahap kecerdasan spasial yang lebih tinggi (M = 22.1) berbanding pelajar perempuan (M=19.8). Pengetahuan yang bermakna melalui dapatan kajian ini, iaitu mengenai korelasi yang positif dalam kecerdasan spasial, akan membantu warga pendidik untuk merangka intervensi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan tahap kecerdasan spasial pelajar sekaligus membantu meningkatkan pencapaian Matematik di kalangan pelajar pintar dan berbakat.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

15-09-2024

How to Cite

Nurul Suzaina Joli, Norshahirah Mohamed Paid, Noorsyakina Simin, & Fairuz Adlidna Badrol Hissam. (2024). KORELASI ANTARA KECERDASAN SPASIAL DAN PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR PINTAR DAN BERBAKAT: SATU KAJIAN DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA. INTERNATIONAL JOURNAL OF MODERN EDUCATION (IJMOE), 6(22). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijmoe/article/view/4130