CABARAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN DALAM PENTAKSIRAN PRESTASI AKADEMIK PELAJAR PADA ABAD KE-21
Keywords:
Abad ke-21, Cabaran Pendidik, Kecerdasan Buatan, Kecerdasan Buatan Pendidikan, Pengajaran dan Pembelajaran, Pembelajaran Digital, Pentaksiran DigitalAbstract
Artikel ini merupakan kertas konsep yang membincangkan cabaran dalam menggunakan kecerdasan buatan bagi membuat pentaksiran prestasi pelajar pada abad ke-21. Kemahiran abad ke-21 menekankan empat kemahiran pembelajaran iaitu kreativiti, pemikiran kritis, kerjasama dan komunikasi. Ini sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM2013-2025) serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Melalui pendekatan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan pembelajaran digital bagi menyediakan pendidikan yang relevan dan berkualiti sebagai persediaan menghasilkan pelajar yang mempunyai kebolehpasaran dan kemahiran insaniah yang tinggi. Kecerdasan buatan (AI) merupakan salah satu elemen yang ditekankan dalam pembelajaran digital. Para pendidik serta pelajar perlu bersedia dan mahir dalam mengaplikasikan teknologi AI bagi melancarkan proses pentaksiran. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh para pendidik dalam merealisasikan penggunaan AI terutama sekali bagi membuat pentaksiran prestasi pelajar termasuk kebimbangan terhadap integriti akademik, amanah serta ketulenan. Isu privasi, keselamatan data dan peraturan etika serta komitmen dan kemahiran pendidik turut dibincangkan. Kebimbangan mengenai bias dan kekurangan faktor manusia dalam teknologi AI serta aksesibiliti, penyesuaian kurikulum dan kurangnya kajian penyelidikan AI dalam bidang pendidikan (AIEd) juga menjadi cabaran dalam pelaksanaan AI. Selain itu, artikel ini turut mengulas mengenai cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam mendepani dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi bagi melestarikan penggunaan AIEd sesuai dengan aspirasi kemahiran abad ke-21.