MENINGKATKAN KEBERKESANAN PENGAJARAN BRAILLE: SINTESIS TEORI DAN KAEDAH UNTUK PENDIDIKAN KHAS KETIDAKUPAYAAN PENGLIHATAN
Keywords:
Kaedah Pengajaran, Ketidakupayaan Penglihatan, Literasi Braille, Membaca, Pendidikan KhasAbstract
Pengajaran braille merupakan komponen utama dalam pendidikan khas bagi kanak-kanak ketidakupayaan penglihatan (KKP), tetapi pelbagai cabaran masih dihadapi dalam pelaksanaan pengajaran braille. Masalah utama termasuk kekurangan kaedah pengajaran yang fleksibel, kekurangan latihan guru yang komprehensif dan kurangnya integrasi teknologi. Objektif kajian ini adalah untuk menilai kaedah-kaedah pengajaran braille yang sedia ada dan membentuk pendekatan inovatif yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran braille, sekaligus menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4). Metodologi kajian ini berfokus pada pendekatan kajian tinjauan literatur yang menyeluruh, mengkaji teori-teori pembelajaran dan kaedah pengajaran kemahiran bacaan awal braille kepada KKP. Dapatan menunjukkan bahawa gabungan teori pembelajaran seperti Teori Perkembangan Kognitif Piaget, Teori Behaviorisme, Teori Konstruktivisme, Teori Nativisme, Teori Sosiobudaya Vygotsky dan Teori Pembelajaran Sosial Bandura membentuk asas kukuh untuk merancang strategi pengajaran yang berkesan. Kaedah pengajaran bacaan awal seperti KGBK yang digunakan di Malaysia telah terbukti berkesan dalam pengajaran Bahasa Melayu. Kajian ini mencadangkan bahawa KGBK boleh disesuaikan untuk pengajaran braille dengan menggabungkan kelebihan kaedah fonik dan keseluruhan perkataan. Selain itu, kaedah pengajaran braille seperti Kaedah Gred 1 dan Gred 2, Kaedah Mangold, Kaedah ABKL dan Kaedah Pembelajaran Dwi turut dinilai keberkesanannya. Kesimpulannya, kajian ini mendapati bahawa tiada satu kaedah pengajaran yang sesuai untuk semua kanak-kanak. Keberkesanan pengajaran bergantung pada keupayaan guru untuk menyesuaikan kaedah mengikut keperluan individu kanak-kanak dan konteks pembelajaran.