PROSES KREATIF DALAM MEDIA DIGITAL
Keywords:
Media Digital, Proses Kreatif, Karya Sastera, Internet, Struktur TeksAbstract
Keberdayaan internet dalam dunia digital telah membawa perubahan pada fungsi dan sistem media massa konvensional apabila tumpuan mendapatkan maklumat telah beralih kepada teknologi internet. Kebolehcapaian internet dalam dunia global secara tidak langsung turut menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air apabila ramai ‘pengkarya’ menghasilkan karya dan memasarkan karya dalam media digital untuk dinikmati oleh khalayak sasaran. Kepopularan karya sastera dalam bentuk media digital atau sastera siber ini mendapat tempat yang utama dalam kalangan peminat sastera tanah air dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang pendidikan. Timbul satu persoalan ‘ada apa pada karya media digital’ sehinggakan pelbagai jenis laman sesawang yang dibina secara individu atau organisasi menjadi tatapan utama pengunjung untuk menikmati hasil karya yang dipersembahkan. Malahan, ekoran daripada kepopularan karya dalam laman sesawang ini, seterusnya karya tersebut dibukukan oleh penerbit-penerbit popular tanah air. Karya ini kemudiannya diperluaskan sasaran khalayak melalui adaptasi novel kepada filem dan drama. Sehubungan itu makalah ini akan meneliti aspek struktur karya media digital bagi menjelaskan kepopularan karya yang begitu mendapat tempat utama dalam industri penerbitan dan perfileman negara. Penelitian secara analisis teks ini akan menggunakan genre cerpen daripada laman sesawang terpilih dalam membincangkan struktur karya media digital yang memungkinkan karya dalam bentuk siber ini mendapat perhatian daripada kalangan pembaca. Dapatan kajian memperlihatkan bahawa sastera dalam bentuk media digital secara umumnya telah membawa perkembangan baru dalam dunia kesusasteraan tanah air. Karya sastera telah mengalami penyesuaian dan perubahan akibat perubahan media. Pengisian karya dalam sastera siber dilihat turut membantu menjana ekonomi dalam industri kreatif negara. Fenomena sastera siber juga secara tidak langsung dapat meneruskan kesinambungan berkarya bagi penulis baru dan lama.