ANALISIS KESAN SUBSIDI TERHADAP PENGELUARAN PADI DI KAWASAN MUDA
Keywords:
Kawasan Muda, Perbelanjaan Kerajaan, Skim Subsidi Padi, ARDLAbstract
Kawasan Muda merupakan salah satu kawasan jelapang padi utama di Malaysia dan merupakan penyumbang terbesar kepada pengeluaran beras negara. Kawasan ini juga menerima insentif atau subsidi yang paling banyak daripada kerajaan melalui pelbagai jenis skim subsidi padi. Pelbagai usaha dan pendekatan melalui perbelanjaan kerajaan (skim subsidi padi) telah dilaksanakan bagi memastikan kawasan ini terus menyumbang hasil pengeluaran padi dan beras kepada negara. Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan skim subsidi padi yang telah diberikan oleh kerajaan terhadap perubahan hasil pengeluaran dan pendapatan petani di kawasan Muda. Antara skim subsidi yang dikaji termasuklah harga minimum terjamin, skim subsidi harga padi dan skim subsidi baja padi. Pembolehubah bebas tambahan seperti keluasan tanaman padi dan bilangan buruh (petani) telah dimasukkan. Kajian ini memfokuskan kepada kesan skim subsidi kepada pengeluaran padi dengan mengaplikasi ujian kointegrasi dan ralat pembetulan mengikut pendekatan Autoregressive Distributed Lag (ARDL) bagi mengesahkan kewujudan dan arah hubungan antara kesemua pembolehubah dengan menggunakan data siri masa 37 tahun (1980-2016). Hasil kajian mendapati wujud hubungan jangka panjang (kointegrasi) antara perbelanjaan kerajaan (skim subsidi padi) terhadap pengeluaran padi di Kawasan Muda. Kajian ini mencadangkan bahawa campur tangan kerajaan khususnya melalui subsidi sektor padi diteruskan tetapi perlu ditransformasi agar industri padi dan beras negara lebih maju, berdaya saing dan mampu menjadi pengeluar/ pengeksport beras ke negara luar.