PENGARUH SISTEM SOKONGAN TERHADAP KELANGSUNGAN PROGRAM TRANSISI KERJAYA KEUSAHAWANAN AGRO TANAMAN CENDAWAN KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN

Authors

  • Rosmiza Mohd Zainol Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Mimi Halida Ghazali Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Christina Andin Universiti Malaysia Sabah
  • Lam Kuok Choy Universiti Kebangsaan Malaysia

Keywords:

Keusahawanan Agro, Murid Berkeperluan Khas Bermasalah Pembelajaran, Program Tanaman Cendawan, Sistem Sokongan, Transisi Kerjaya

Abstract

Stigma masyarakat yang memandang rendah dan menghadkan peluang Orang Kelainan Upaya (OKU) diintegrasi dalam organisasi pekerjaan menyebabkan golongan ini berada dalam kancah kemiskinan. Lantaran itu, golongan ini perlu diberi pendedahan seawal pendidikan formal bagi membina kemahiran vokasional terutamanya aspek keusahawanan, agar mampu berdikari untuk meneruskan kerjaya pada masa hadapan. Kewujudan program tanaman cendawan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau, Pulau Pinang kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) Bermasalah Pembelajaran dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah menengah harian dicetuskan sebagai satu program transisi asas kerjaya dalam bidang keusahawanan agro. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk menilai keupayaan pengaruh sistem sokongan yang terdiri daripada sokongan pentadbir, sokongan komuniti guru, sokongan penglibatan ibu bapa dan sokongan agensi luar dalam membentuk kemahiran keusahawanan agro dalam kalangan MBK Bermasalah Pembelajaran serta terhadap kelangsungan program. Rasional kajian ini dijalankan kerana terdapat beberapa sekolah yang telah berhenti menjalankan program ini walhal program yang baik ini seharusnya mempunyai kesinambungan ke arah membentuk agropreneur dalam kalangan MBK Bermasalah Pembelajaran. Reka bentuk kajian kualitatif (temu bual) dijalankan melibatkan 14 orang guru Pendidikan Khas di 14 buah sekolah yang terlibat dengan program tanaman cendawan di Pulau Pinang. Hasil kajian mendapati faktor sokongan pihak pentadbir, guru dan agensi luar sangat mempengaruhi kelangsungan program tanaman cendawan kepada murid Bermasalah Pembelajaran ini. Manakala sokongan ibu bapa dan guru adalah paling berpengaruh dalam membentuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan murid ini. Walaupun terdapat kekurangan daripada aspek infrastruktur, bantuan pembiayaan dan teknologi dalam penanaman cendawan di sekolah, namun sokongan padu dan jalinan kolaborasi antara semua pihak ini berupaya memastikan kelangsungan program ini dalam memberi pendedahan asas kerjaya dalam bidang keusahawanan agro. Sehubungan itu, sokongan pentadbir dan pihak atasan seperti Jabatan Pendidikan Negeri serta Kementerian Pendidikan Malaysia melalui suntikan modal dan latihan pengembangan kepada guru perlu diberi penekanan. Selain itu, faktor keutuhan hubungan ibu bapa dengan guru melalui sokongan terhadap program tanaman cendawan perlu utuh, agar matlamat membentuk agropreneur dalam kalangan murid Bermasalah Pembelajaran tercapai. Murid dalam kategori ini amat memerlukan jalinan kolaborasi dan sokongan padu semua pihak dalam perjalanan membentuk keyakinan diri mereka menempuh alam pekerjaan kelak.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2024-08-12

How to Cite

Rosmiza Mohd Zainol, Mimi Halida Ghazali, Christina Andin, & Lam Kuok Choy. (2024). PENGARUH SISTEM SOKONGAN TERHADAP KELANGSUNGAN PROGRAM TRANSISI KERJAYA KEUSAHAWANAN AGRO TANAMAN CENDAWAN KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN. INTERNATIONAL JOURNAL OF MODERN TRENDS IN SOCIAL SCIENCES (IJMTSS), 2(8). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijmtss/article/view/682