RESOSIALISASI JUVANA DAN PERUBAHAN TINGKAH LAKU
Keywords:
Resosialisasi, Juvana, Nilai, Tingkah Laku, Institusi Pemulihan JuvanaAbstract
Remaja mempelajari nilai dan tingkah laku negatif melalui interaksi mereka dengan orang di persekitarannya, sehinggakan mereka terlibat dalam tingkah laku menyalahi undang-undang yang dirujuk sebagai delikuensi menurut perspektif ilmu sosiologi. Oleh itu nilai dan tingkah laku yang salah ini perlu diperbetulkan melalui proses resosialisasi di institusi pemulihan. Tujuan artikel ini ialah untuk meneroka sama ada berlakunya perubahan nilai dan tingkah laku dalam diri juvana, hasil daripada proses resosialisasi yang dijalankan oleh institusi pemulihan. Bagi meneroka isu ini, pendekatan kualitatif iaitu kajian kes telah digunakan. Responden kajian ini terdiri daripada 27 orang kakitangan institusi pemulihan dan 23 orang juvana. Mereka dipilih melalui pensampelan bertujuan. Bagi tujuan pengumpulan data kajian, temu bual secara mendalam telah dilaksanakan bersama responden dan pemerhatian serta analisis dokumen turut juga dibuat. Dapatan kajian menunjukan bahawa terdapat perubahan nilai dan tingkah laku juvana hasil daripada amalan pelaksanaan ganjaran dan hukuman serta program agama. Secara keseluruhannya tidak dapat dinafikan bahawa proses resosialisasi juvana dalam konteks kajian ini telah berjaya, kerana terdapatnya perubahan dalam aspek nilai dan tingkah laku juvana.