MENINGKATKAN KEBERKESANAN PERANAN WAQF DALAM BIDANG PENDIDIKAN DI ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0
Keywords:
Wakaf, Pendidikan, Revolusi Industri 4.0Abstract
Peranan penting institusi wakaf dan sumbangan dalam pelbagai sektor menjadi tunggak kekuatan ekonomi masyarakat Islam dulu dan kini. Wakaf adalah salah satu penaja utama kebitaran umat Islam di mana salah satu fungsinya ialah menghapuskan kejahilan melalui pendidikan. Pendidikan adalah penting di abad ini kerana melalui pendidikan mampu mengubah nasib dan status seseorang. Kejayaan pendidikan menjadikan kayu ukur pembangunan sesebuah negara melalui keberhasilan mengeluarkan produk yang berkualiti, berpotensi, kreatif dan inovatif. Justeru, kajian ini dilaksanakan bagi menelusuri sejarah hubung kait antara wakaf dan pendidikan dalam usaha untuk mengenal pasti cara meningkatkan keberkesanan peranan wakaf pendidikan di era Revolusi Industri 4.0. Metodologi penyelidikan yang diguna pakai adalah secara deskriptif. Analisis dilakukan dengan meneliti maklumat data sekunder terutama penulisan, jurnal, kertas kerja dan artikel yang berkaitan. Pengurusan dan pentadbiran wakaf yang inovatif perlu dilaksanakan semaksimum mungkin lebih-lebih lagi bagi menghadapi perubahan besar revolusi industri 4.0 yang menggantikan tenaga manusia dengan tenaga teknologi. Keberkesanan peranan wakaf dalam bidang pendidikan mampu menghasilkan sumber tenaga yang berkualiti serta menyediakan pendidikan yang terbaik bagi masyarakat.