UJIAN KECERGASAN FIZIKAL KANAK-KANAK BERASASKAN KESIHATAN
Keywords:
Kecergasan Fizikal, Ujian Bateri, FITNESSGRAM, EUROFITT, SEGAKAbstract
Kecergasan fizikal merupakan keupayaan seseorang individu dalam melaksanakan tugasan harian dengan cekap dan cergas tanpa rasa letih serta berkeupayaan melaksanakan aktiviti semasa kecemasan. Individu yang mempunyai kecergasan fizikal yang baik adalah individu yang mempunyai kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan kecergasan fizikal berasaskan kemahiran. Kecergasan fizikal berasaskan kesihatan terbahagi kepada lima komponen iaitu komposisi badan, daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot dan fleksibiliti. Terdapat lebih daripada 15 ujian bateri kecergasan fizikal yang digunakan di seluruh dunia untuk mengukur tahap kecergasan fizikal kanak-kanak dan orang dewasa. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menganalisis hubungan antara penggunaan ujian bateri kecergasan fizikal dengan tahap kecergasan fizikal kanak-kanak berasaskan kesihatan. Sehubungan itu, analisis literatur menunjukkan bahawa ujian bateri yang sering digunakan bagi mengukur tahap kecergasan kanak-kanak adalah ujian bateri FITNESSGRAM yang digunakan di Amerika Syarikat dan ujian bateri EUROFITT yang digunakan di negara Eropah. Manakala Malaysia menggunakan Ujian SEGAK yang hanya diukur terhadap kanak-kanak berumur 10 tahun hingga 17 tahun sahaja. Komponen dan kaedah perlaksanaan ujian bateri kecergasan fizikal berasaskan kesihatan akan diterangkan secara terperinci. Kesimpulannya, pengukuran tahap kecergasan fizikal kanak-kanak berasaskan kesihatan memberikan maklumat yang penting kepada murid, guru dan ibu bapa tentang tahap kecergasan fizikal kanak-kanak. Sehubungan itu, ujian kecergasan fizikal berasaskan kesihatan perlu dilaksanakan bersesuaian dengan usia kanak-kanak dan secara tidak langsung kesihatan kanak-kanak dapat digambarkan melalui ujian kecergasan fizikal berasaskan kesihatan.