KEBEBASAN DAN KAWALAN MEDIA DI MALAYSIA: KAJIAN PERBANDINGAN MEDIA BARU DAN MEDIA TRADISIONAL
Keywords:
Kebebasan Akhbar, Kawalan Media, Media Baharu, Media TradisionalAbstract
Kebebasan dan kawalan media adalah dua konsep yang berkait rapat dengan demokrasi di mana ia melibatkan pergelutan dan kerjasama antara media dan kerajaan. Walaupun Freedom House iaitu sebuah badan bukan kerajaan peringkat antarabangsa mengklasifikasikan beberapa negara di Eropah khususnya, sebagai negara yang mengamalkan kebebasan akhbar, hakikatnya, kebebasan akhbar yang mutlak tidak wujud. Negara-negara tersebut juga sebenarnya mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu untuk mengawal akhbar mereka. Di Malaysia, kebebasan dan kawalan akhbar sering dipersoalkan kerana kerajaan dikatakan menggunakan pelbagai alasan untuk menyekat kebebasan media. Isu kebebasan akhbar dianggap kurang penting bagi negara sedang membangun seperti Malaysia kerana kerajaan mementingkan keharmonian masyarakat bagi membolehkan tumpuan diberi kepada memajukan negara. Bagaimanapun, kemajuan teknologi komunikasi masa kini menyebabkan kawalan kerajaan ke atas kebebasan media semakin longgar dan kompleks. Hal ini menyebabkan wujudnya kebimbangan tentang bagaimana kebebasan media ini boleh dikawal dalam era media baharu. Melalui kajian literatur sumber sekunder, artikel ini akan menilai semula unsur kawalan dalam Teori Penetapan Agenda yang dipelopori oleh McCombs & Shaw (1972) dan bagaimana kebebasan akhbar di Malaysia terkesan dengan kemajuan teknologi komunikasi. Artikel ini juga akan mencadangkan langkah-langkah yang sesuai untuk dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengawal kebebasan media di era media baharu.