KONSEP DAN FALSAFAH SASTERA ISLAM MENGIKUT MUHAMMAD BUKHARI LUBIS
Keywords:
Kesusasteraan Islami, Kemucak Seni, Kebenaran, Berlipur Lara, Polemik Sastera Islam, Seni Sebagai Matlamat, Kesusasteraan Ala-Islami(K-A-I), Kesusasteraan Muslim (KM)Abstract
Kajian ini secara khusus mendalami konsep sastera Islam yang digagaskan oleh Bukhari Lubis. Menurut beliau, sastera merupakan bahagian dari keindahan dalam Islam dan ianya antara ciri kebudayaan Islami yang dilaksanakan Muslim. Beliau lebih mesra menggunakan terma ‘kesusasteraan Islami’ untuk merujuk kepada sastera Islam itu sendiri. Beliau menekankan takrif ‘Islam’ sebelum menghuraikan dengan lebih mendalam tentang konsep kesusasteraan Islami. Kesusasteraan Islami menurut beliau adalah kegiatan bersastera yang tidak terlepas dari nilai dan norma Islam. Beliau bersetuju dengan pendapat Syed Qutb di mana kemuncak pada seni(termasuk sastera) adalah apabila terciptanya kebenaran. Menurut beliau juga kesusasteraan Islam bukanlah karya yang bertujuan untuk berlipur lara atau menghiburkan semata-mata, tetapi ianya perlu diawasi sentiasa, adakah seni itu sebagai matlamat atau sekadar wahana untuk menyampaikan Muslimin ke matlamat yang dibenarkan Islam. Setelah mendalami isi-isi penting dalam polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, Bukhari Lubis merumuskan pembahagian kesusasteraan Islam kepada tiga bahagian. Pertama, Kesusasteraan Islami (KI) iaitu karyawan itu sendiri hendaklah seorang Muslim yang wajib menerima Rukun Iman dan Rukun Islam. Kedua, Kesusasteraan ala-Islami (K-a-I) iaitu terdapat sesetengah karya yang Islami, sejajar dengan ajaran Islam, tetapi sasterawannya tidak beragama Islam. Ketiga, Kesusasteraan Muslim (KM) iaitu apabila terdapat sasterawan Muslim yang menghasilkan karya yang bercanggah dengan ajaran Islam. Namun, pelanggaran ini tidaklah sampai merosak akidah pengarang berkenaan.