KAJIAN TERHADAP KUALITI UDARA DALAMAN BAGI BILIK KULIAH DI POLITEKNIK MERLIMAU
Keywords:
Kualiti, Udara, CO2, SuhuAbstract
Isu kualiti udara dalaman telah mendapat perhatian yang semakin meningkat dari masyarakat saintifik antarabangsa, institusi politik dan pengurusan alam sekitar untuk meningkatkan keselesaan, kesihatan dan kesejahteraan penghuni bangunan berikutan kebanyakan manusia pada zaman serba moden ini banyak menghabiskan masa di dalam ruangan yang tertutup seperti bangunan dan kenderaan berbanding di ruangan terbuka dengan udara persekitaran. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengetahui tahap kualiti udara dalaman di kawasan kampus Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) terutama di bilik-bilik kuliah dan makmal. Kualiti udara dalaman di dalam kajian ini dinilai berdasarkan dua kriteria iaitu nilai suhu dan kepekatan karbon dioksida (CO2) di dalam bilik berhawa dingin di lima jabatan induk. Instrumen kajian ini menggunakan Thermo Hygrometer dan CO2 Meter sebagai alat untuk menganalisis. Didapati bahawa suhu yang terdapat di kampus Politeknik Merlimau terutamanya di bilik-bilih kuliah menunjukkan bacaan yang tidak menepati paras bacaan yang ditetapkan oleh piawaian Malaysia (MS1525) iaitu pada suhu 24oC- 26oC. Julat suhu yang dicatatkan adalah di antara 22oC hingga 26.5oC. Manakala pelepasan CO2 adalah terkawal dengan purata bacaan bagi setiap jabatan induk kurang dari 1000ppm di mana julat hasil analisa adalah di antara 400ppm hingga 1125ppm di setiap jabatan induk politeknik. Secara keseluruhanya hasil kajian ini menunjukkan bahawa perubahan suhu dan pelepasan CO2 di PMM adalah masih dalam keadaan yang terkawal walaupun tidak mengikut spesifikasi MS1525 dengan tepat terutamanya pada bacaan suhu. Fenomena yang berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dikaji pada masa akan datang seperti tiada kesedaran pengguna atau penyelenggaraan penghawa dingin bagi mengukuhkan lagi kajian ini.