IMPAK PERUBAHAN GUNA TANAH HUTAN DAN LITUPAN HUTAN TERHADAP BENCANA BANJIR DI DAERAH BALING KEDAH
Keywords:
Perubahan Guna Tanah, Guna Tanah Hutan, Litupan Hutan, Bencana, Global Forest Watch, Keterdedahan Komuniti, Pengurusan BencanaAbstract
Aktiviti pembalakan dan perubahan guna tanah hutan secara yang tidak terkawal mengakibatkan impak daripada kejadian bencana menjadi lebih dahsyat. Penebangan dan pembukaan hutan secara berleluasa khususnya di kawasan tanah tinggi meningkatkan keterdedahan komuniti setempat terhadap impak bencana. Kajian ini bertujuan dijalankan untuk mengenalpasti perubahan guna tanah hutan dan litupan hutan di daerah Baling, Kedah menggunakan aplikasi GIS dan membuat perbandingan dengan kekerapan bencana banjir yang berlaku di kawasan kajian. Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah analisis kandungan dan pemerhatian. Data yang digunakan adalah berdasarkan laporan perubahan litupan hutan di daerah Baling menggunakan aplikasi Global Forest Watch yang di cerap dari tahun 2002 hingga tahun 2022. Data-data ini kemudian dibandingkan dengan trend kejadian bencana yang berlaku pada tahun 2017 hingga 2022. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kadar pembukaan litupan hutan disebabkan oleh pertambahan pembangunan penempatan penduduk, aktiviti pertanian dan aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau pun haram semakan meningkat saban tahun mempengaruhi peningkatan jumlah kawasan yang terjejas dengan bencana banjir. Kesedaran terhadap keterdedahan kepada risiko bencana akibat perubahan guna tanah hutan dan persiapan dalam menghadapi bencana perlu ditekankan di kalangan penduduk dan masyarakat bagi mengurangkan impak kerosakan dan kerugian akibat bencana.