USLUB AL-HADHF (ELIPSIS) DALAM AL-QURAN
Keywords:
Uslub, Al-Hadhf, Al-Qur’anAbstract
Al-Quran yang diturunkan sejak 1400 tahun dahulu mempunyai kekuatan nilai universal yang meliputi seluruh disiplin ilmu yang ada di dunia ini. Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang penuh dengan mukjizat khususnya dari sudut bahasa dan balaghah. Antara keistimewaan al-Quran ialah mempunyai unsur al-i’jaz, al-itnab dan al-musawat. Bahkan penggunaan al-Quran juga telah memasuki bidang sains dan teknologi seperti perubatan, astronomi, psikologi dan seumpama dengannya serta tidak terbatas dengan ilmu agama semata-mata. Namun begitu, setiap perkembangan ilmu di zaman ini mempengaruhi pemahaman manusia terhadap teks al-Quran itu sendiri. Bahasa yang dipilih oleh Allah SWT dalam menyampaikan wahyu adalah bahasa Arab yang mempunyai ciri-ciri tersendiri dalam pembentukan sesuatu ayat, iaitu merujuk kepada aspek tatabahasa, retorika dan semantik. Dalam kajian ini penyelidik cuba mengenengahkan topik Uslub al-Hadhf (Elipsis) Dalam Al-Quran yang merupakan salah satu tajuk i’jaz al-Quran. Tujuan kajian ini dijalankan adalah bagi mendedahkan unsur-unsur al-hadhf dalam al-Quran dan membantu pencinta al-Quran dalam memahami ayat berkaitan dengan lebih mendalam. Dalam hal ini, penyelidik berpandangan bahawa pemahaman maksud al-Quran memerlukan pemahaman tentang tajuk-tajuk ilmu balaghah terutama al-hadhf. Tanpa memahami ilmu balaghah pembaca tidak dapat menyelami maksud sebenar ayat al-Quran.