KONSEP SASTERA ISLAM OLEH KASSIM AHMAD
Keywords:
Konsep Sastera Islam, Karya, Penulisan, Pemikiran, Aqidah, Idea, KritikanAbstract
Kajian ini berkisar tentang konsep sastera Islam mengikut Kassim Ahmad. Kassim telah mengagaskan satu konsep sastera Islam berdasarkan sanggahannya terhadap konsep sastera Islam oleh Shahnon Ahmad, melalui perdebatan ilmiah dalam Dewan Sastera menerusi beberapa keluaran. Menerusi konsep yang ditampilkan jelas Kassim menyerlahkan fahaman liberal terhadap kefahaman Islamnya. Terdapat beberapa tafsiran terhadap ayat ayat al-Quran yang ditafsirkan mengikut kefahamannya yang agak bercanggah dengan kaedah penafsiran al-Quran dalam menetapkan konsep sastera Islam. Meskipun begitu, kajian ini juga menyerlahkan kehebatan Kassim dalam bidang penulisan sewaktu mempertahankan hujjah hujjahnya terhadap Shahnon. Perdebatan ilmiah ini juga telah menarik minat para ilmuan lain di Malaysia untuk melontarkan idea masing masing, seterusnya mauduk ini menjadi panas dan menjadi persoalan yang penting dibicarakan pada waktu itu, meskipun persoalan tentang 'sastera Islam' ini sebenarnya telah ditimbulkan oleh tokoh tokoh sasterawan sebelumnya. Kassim dan Shahnon telah berjaya menjadikan mauduk 'sastera Islam' menjadi penting untuk diperdebatkan. Apatah lagi waktu itu persoalan Islamisasi menjadi 'penting' kerana kempen penerapan nilai nilai Islam oleh kerajaan, dan faktor tercetusnya 'Revolusi Islam Iran'. Sekiranya proses 'Islamisasi' dilaksanakan dalam bidang pendidikan, ekonomi, undang undang dan pengurusan, maka apakah bidang sastera yang bergantung kepada khayalan juga boleh di 'Islamisasi'kan. Kajian ini sedikit sebanyak menjawab isu sastera Islam atau mungkinkah proses 'Islamisasi' dilaksanakan dalam bidang kesusasteraan?